Toyo Tires Pertaruh Teknologi IMX & Manifesto Baharu, Sasar Tayar Premium Harga Mampu Milik
- oleh Editor MYBUZZ
- 6 Aug 2026 4:17 pm
BANDAR SUNWAY: Pengeluar tayar terkemuka, Toyo Tires, secara rasminya melancarkan manifesto jenama terbaharunya, “Buatan Malaysia, Keunggulan Jepun”, dalam usaha menggabungkan kebanggaan sektor pembuatan tempatan dengan kejituan kejuruteraan Jepun.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Sunway Resort hari ini menyaksikan komitmen berterusan syarikat dalam menawarkan tayar berkualiti tinggi ber standard Jepun pada harga yang mampu dimiliki oleh pemandu di negara ini.
Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn Bhd, Tan Song Chye berkata, Toyo Tires merupakan satu-satunya pengeluar tayar multinasional tempatan di Malaysia yang menggabungkan kemahiran tukang tempatan dengan presisi kejuruteraan Jepun bagi mencapai standard kualiti premium.

Encik Tan Song Chye, Presiden/Pengarah Urusan TOYO TYRE SALES AND MARKETING MALAYSIA SDN. BHD., menyampaikan ucapan sempena pelancaran identiti jenama baharu TOYO TIRES, “Buatan Malaysia, Keunggulan Jepun”.
“Manifesto ini menyerlahkan komitmen berterusan kami dalam membangunkan industri bersama negara menerusi kemahiran 100 peratus tenaga kerja tempatan di kilang Taiping, Perak.
“Langkah ini bukan sahaja menyokong peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan ekonomi negara, malah memanfaatkan teknologi Jepun yang direka khas mengikut kesesuaian corak pemanduan serta kondisi jalan raya di Malaysia pada harga yang kompetitif,” katanya.
Teras “Keunggulan Jepun” yang dibawakan syarikat mencerminkan warisan kejuruteraan yang bermula di Osaka sejak 1945. Ia mengaplikasikan teknologi kejuruteraan berpresisi tinggi serta falsafah Kaizen (penambahbaikan berterusan) dalam operasi pengeluarannya di Malaysia bagi memastikan setiap produk memenuhi piawaian keselamatan dan ketahanan yang tinggi.

Encik Tan Song Chye berkongsi sejarah kecemerlangan TOYO Tires di Malaysia bersama wakil KPDN, Tuan Noreswandi Bin Mohamad.
Pemodenan Kilang Menerusi Teknologi IMX
Sejajar dengan usaha mengekalkan standard kualiti premium tersebut, kilang utama Toyo Tires di Taiping kini sedang merintis transformasi pemodenan menerusi inisiatif Intelligent Manufacturing Transformation (IMX).
Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd, Mike Toh menjelaskan, teknologi IMX merupakan rangka kerja strategik yang mendigitalkan keseluruhan rantaian bekalan dan pengurusan data di peringkat kilang.
“Langkah ini menghapuskan pembaziran maklumat dan mengubah paradigma pengurusan daripada berasaskan intuisi kepada berasaskan data. Berbekalkan maklumat masa nyata, ia membolehkan membuat keputusan yang pantas dan tepat.
“IMX mewujudkan ekosistem pengilangan yang lebih pintar, cekap, dan mampan demi masa depan mobiliti,” tambah Mike Toh.

Toyo Tires melancarkan aplikasi T-CARE dan platform e-TEN bagi mempertingkat pengalaman digital pelanggan serta memperkukuh kecekapan operasi rakan niaga.
Inovasi Digital & Perlindungan Pengguna
Bagi melengkapkan pengalaman pelanggan dan rakan niaga, Toyo Tires turut melancarkan dua platform digital baharu iaitu aplikasi T-CARE untuk pengguna serta platform e-TEN untuk rakan niaga.
Menurut Pengurus Kanan Perkhidmatan Teknikal Toyo Tires, Amirul Amin Abu Rashid, menerusi aplikasi T-CARE, pengguna boleh menikmati kemudahan pendaftaran tayar, tawaran cashback Touch ‘n Go eWallet sehingga RM40 bagi pengguna kali pertama, serta waranti tayar lanjutan selama 6 tahun.
“Waranti 6 tahun ini sangat istimewa kerana ia bermula dari tarikh pembelian tayar, bukannya mengikut tarikh pembuatan tayar (Date of Manufacture – DOM). Kami bukan sekadar menjual tayar, tetapi membina hubungan berkekalan dengan memberikan ketenangan minda kepada pemandu,” jelas Amirul Amin.
Sementara itu, platform e-TEN membolehkan rakan niaga membuat pesanan dalam talian 24 jam sehari, memproses inventori dengan lebih pantas, serta meningkatkan kecekapan operasi pengedar.

Dari kiri: Encik Mohamad Nazim Ismail, Penasihat Kewangan dan Operasi Dana, Media Prima Berhad; Datuk Yaakob Bin Md Amin, Pemegang Amanah Yayasan MyKasih; Tuan Noreswandi Bin Mohamad, Ketua Sektor Operasi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor; Encik Tan Song Chye, Presiden/Pengarah Urusan, TOYO TYRE SALES AND MARKETING MALAYSIA SDN. BHD.; Dato’ George Thomas, Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB); dan Puan Siti Nur Azhani Abdul Samat, Pengurus Kanan Pengumpulan Dana & Perhubungan Awam MAB, menerima cek replika daripada TOYO TIRES bagi menyokong komuniti yang memerlukan.
Sumbangan Kembali Kepada Masyarakat
Memegang prinsip kejayaan korporat berasaskan impak positif kepada masyarakat, Toyo Tires menterjemahkan keprihatinannya menerusi inisiatif “Komuniti PRIHATIN TOYO”.
Syarikat menyalurkan sumbangan kepada tiga badan kebajikan utama iaitu Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP untuk bantuan bencana, Yayasan MyKasih bagi bantuan makanan dan biasiswa, serta Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk pemberdayaan golongan OKU penglihatan.
Sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-69, Toyo Tires turut mengadakan Promosi Merdeka bermula 1 Ogos hingga 30 September 2026. Pelanggan yang membeli empat biji tayar terpilih berpeluang menerima ganjaran bernilai lebih RM500, termasuk cashback e-Wallet dan barangan eksklusif Thermos.
