8 Tahun Menunggu, Tiara Jacquelina Kembali Dengan Produksi Paling Dinanti ‘Puteri Gunung Ledang The Musical’
- oleh Editor MYBUZZ
- 6 Aug 2026 6:39 pm
KUALA LUMPUR – Dinding seni pentas tanah air bakal kembali bergema apabila naskah teater ikonik negara, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM), disahkan membuat kemunculan semula secara gilang-gemalang tidak lama lagi.
Pementasan semula karya legenda ini menandakan kepulangan semula Penerbit Bersama merangkap Pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina dan syarikat produksinya, Enfiniti, selepas kali terakhir mementaskan teater OlaBola The Musical lapan tahun yang lalu.
Mendapat sokongan penuh sebagai pementasan pembukaan rasmi di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, teater berskala besar ini dijadualkan berlangsung bermula 31 Oktober hingga 15 November 2026.
Langkah ini bakal memperkenalkan naskah cinta, pengorbanan dan takdir ini kepada generasi baharu, di samping mengubat rindu peminat teater yang pernah jatuh hati dengan pementasan asal dua dekad lalu.

Aisha Retno, Mila Mohsin dan Aqasha terajui kebangkitan Puteri Gunung Ledang The Musical.
Aisha Retno, Mila Mohsin & Aqasha Rebut Pentas Utama
Edisi 2026 menampilkan gabungan mantap antara bintang ternama dan bakat muda berbakat besar. Watak ikonik Puteri Gunung Ledang bakal digalas secara bergilir oleh penyanyi vokal mantap Aisha Retno dan Mila Mohsin, manakala watak pahlawan Melayu Hang Tuah diserahkan kepada pelakon berpengalaman, Aqasha.
Pementasan ini turut disemarakkan dengan barisan pelakon hebat lain termasuk Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz, dan Yusof Hashim. Menurut Tiara Jacquelina, kepulangan semula produksi ini ke pentas teater mencetuskan rasa emosi yang amat mendalam buat dirinya.
“Ini adalah detik yang sangat emosional buat saya. Sudah lapan tahun sejak Enfiniti kali terakhir mementaskan teater muzikal menerusi OlaBola, dan saya hampir terlupa betapa terujanya fasa seperti ini — debaran, perbualan orang ramai, dan perasaan indah melihat penonton mula mengira hari menuju malam pembukaan.
“Membaca semua komen di Threads, Instagram dan TikTok sangat menyentuh hati. Talian telefon kami tidak berhenti berdering, malah kami sudah mula menerima pertanyaan daripada syarikat-syarikat korporat yang mahu membuat tempahan persembahan khas,” katanya.
Persiapan Rapi & Bengkel ‘Javanese Cultural Immersion’
Bagi memastikan mutu persembahan berada pada tahap tertinggi, pihak produksi telah melakukan persiapan rapi di sebalik tabir sejak beberapa bulan lalu. Seluruh barisan pelakon telah menjalani latihan intensif 10 Hari Bengkel Menyelami Budaya Jawa (Javanese Cultural Immersion Workshop) bagi mendalami adat, tradisi dan latar belakang sejarah yang mengilhami penceritaan PGLM.
Latihan berskala penuh bakal bermula secara rasmi pada 17 Ogos ini, melibatkan pembaharuan dari sudut susunan muzik, koreografi, rekaan set, busana, serta kesan khas visual di pentas.
“Pasukan kreatif dan teknikal kami telah menghabiskan masa memperhalusi setiap perincian. Saya dan seluruh tenaga kerja tekad untuk mencipta sebuah pementasan yang akan dikenang oleh penonton sepanjang hayat mereka,” tambah Tiara.

Lagenda cinta agung Melayu kembali dengan nafas baharu Di JCPAC.
Info Tiket & Jualan Keutamaan
Sambutan hangat mula dirasai apabila orang ramai tidak henti-henti membuat pertanyaan tiket menerusi media sosial dan talian khas JCPAC.
- Jualan Keutamaan (Pemegang Kad AFFIN): Bermula 18 Ogos 2026 (8.00 malam) untuk tempoh eksklusif 72 jam.
- Jualan Tiket Umum: Bermula 21 Ogos 2026.
Orang ramai dan peminat teater dinasihatkan membuat tempahan awal bagi mengelakkan ketiadaan tiket. Maklumat lanjut serta perkembangan terkini boleh diikuti menerusi akaun rasmi media sosial @PGLTheMusical dan @EnfinitiMakesMagic.
