KUALA LUMPUR – Selepas lapan bulan mendiamkan diri tanpa sebarang buah tangan baharu, kumpulan wanita popular tanah air, DOLLA, akhirnya kembali menggegar industri muzik menerusi pelancaran single terbaharu bertajuk ‘G.O.A.T’.
Lebih menarik, karya yang menandakan permulaan fasa paling berani buat DOLLA ini turut menampilkan kolaborasi rentas sempadan bersama ikon hip-hop tersohor dari Thailand, F.Hero. Langkah strategik ini sekali gus mendedahkan aspirasi DOLLA untuk memecahkan benteng muzik tempatan dan memperluaskan empayar mereka ke pasaran Asia Tenggara serta peringkat antarabangsa.
Mendapat sentuhan penerbit antarabangsa dari Norway, Audun Agnar Guldbrandsen — sosok di sebalik lagu hit K-Pop kumpulan IVE seperti ‘I AM’ dan ‘Kitsch’ — lagu ‘G.O.A.T’ mengadunkan formula pop moden yang mantap bersama suntikan elemen rap berkarakter.
Dicipta bersama Erika Dahlen, Amanda Liedberg, Stian Nyhammer Olsen serta F.Hero sendiri, karya ini menyampaikan mesej ketara mengenai keyakinan diri, keberanian menjadi diri sendiri, serta ketabahan menepis keraguan dalam melangkah ke hadapan.

Kolaborasi impian jadi realiti, DOLLA bergabung dengan ikon Rap Thailand F.Hero
Kontras Vokal: Feminin Bertemu Tenaga Garang
Mengulas mengenai kerjasama rentas negara berkenaan, barisan anggota DOLLA mengakui gabungan dua entiti muzik ini memberikan variasi rasa yang lebih dinamik kepada peminat.
“Bekerjasama dengan F.Hero memang satu pengalaman yang sangat menarik kerana gaya muziknya sangat berani dan penuh karakter, dan itu selari dengan arah baharu yang kami ingin tampilkan menerusi ‘G.O.A.T’.
“Sebagai kumpulan wanita, vokal kami lebih feminin, manakala dia pula membawa tenaga yang lebih garang dan kuat. Kontras itu menjadikan lagu ini lebih dinamik dan memberi satu dimensi baharu,” kata mereka.
Penglibatan F.Hero secara tidak langsung menjadi batu loncatan utama buat DOLLA untuk memperluaskan pengaruh mereka di Thailand, yang kini diakui sebagai antara pasaran muzik paling pesat di rantau ini.

“Kami mahu tampil lebih berani” – DOLLA kongsi inspirasi di sebalik ‘G.O.A.T’
Tinggalkan Imej Glamor, Tampil Lebih ‘Edgy’ & Matang
Bukan sahaja dari segi bunyi dan komposisi muzik, ‘G.O.A.T’ turut memperlihatkan transformasi drastik DOLLA dari aspek visual. Kumpulan ini memilih untuk melepaskan imej glamor yang sinonim dengan mereka sebelum ini, sebaliknya menyuntik gaya yang lebih edgy, berani, dan berwatak bersesuaian dengan matlamat era baharu mereka.
“‘G.O.A.T’ adalah tentang keyakinan yang diperoleh hasil daripada segala usaha dan cabaran yang telah dilalui. Ia bukan sekadar tentang menjadi yang terbaik, tetapi tentang menghargai perjalanan yang membentuk siapa diri kami hari ini.
“Kami ingin menampilkan sisi yang lebih matang, lebih berani dan lebih yakin dengan identiti sendiri. Kami mahu orang melihat bahawa kami tidak takut mencuba sesuatu yang baharu dan sentiasa bersedia untuk melangkah lebih jauh,” tambah kumpulan itu.

DOLLA sasar pasaran antarabangsa, bakal buat persembahan di pentas berprestij di Paris, Perancis pada Oktober depan.
Misi Menggegar Paris Oktober Ini
Perjalanan Seni DOLLA nampaknya tidak terhenti di peringkat serantau sahaja. Melangkah ke fasa seterusnya, kumpulan ini mengesahkan bakal menjayakan persembahan berprestij di Paris, Perancis pada Oktober depan, satu pencapaian besar dalam lipatan sejarah kerjaya mereka.
DOLLA menyifatkan ‘G.O.A.T’ hanyalah permulaan kepada pelbagai perancangan besar yang bakal disajikan kepada peminat sepanjang tahun ini. Single terbaharu ‘G.O.A.T’ kini boleh didengar dan distrim di semua platform penstriman digital utama.
