Teror Saka 1950-an: Khadam Tawar Sisi Seram Berbeza, Selongkar Trauma & Harga Sebuah Pengorbanan
- oleh Editor MYBUZZ
- 11 Jun 2026 3:29 pm
KUALA LUMPUR: Jika anda menyangkakan filem seram tempatan hanya sarat dengan elemen kejutan visual semata-mata, naskhah terbaharu arahan Shamyl Othman, Khadam, bakal mengubah persepsi tersebut. Hadir dengan naratif yang lebih matang, filem ini tidak sekadar menjual ketakutan, sebaliknya menggabungkan elemen seram, psikologi, drama keluarga dan trauma generasi yang cukup dekat dengan jiwa masyarakat Melayu.
Malam Selasa lalu berlansung dengan meriah majlis tayangan gala filem Khadam di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur yang dihadiri barisan pelakon, pengarah, seluruh produksi serta penerbit. Tidak ketinggalan peminat-peminat filem seram Melayu yang dijemput secara eksklusif untuk menjadi antara penonton terawal sebelum filem ini ditayangkan kepada umum.

Malam gala Khadam raih sambutan hangat, tampil kisah seram berteraskan Saka.
Bakal menggegarkan lebih 120 pawagam di seluruh negara bermula 11 Jun 2026, Khadam membawa penonton menelusuri kelamnya kehidupan pada era 1950-an. Filem ini mengisahkan Melor, seorang ibu bisu yang bermati-matian melindungi keluarganya daripada mewarisi sejenis saka turun-temurun. Saka tersebut, yang menjelma sebagai versi dirinya yang lebih ‘sempurna’, mula perlahan-lahan mengambil alih peranannya sebagai isteri dan ibu setelah Melor enggan menurut perintah dan menjadi tuannya yang baharu.
Menurut pengarahnya, Shamyl Othman, naskhah ini digarap daripada keinginan untuk meneroka sisi seram yang sangat dekat dengan budaya masyarakat Melayu.
“Dalam budaya Melayu, terdapat dua jenis pewarisan, satu berbentuk zahir iaitu pusaka dan satu lagi berbentuk ghaib iaitu saka, satu entiti yang diwarisi turun-temurun,” jelasnya.
Tambah beliau, saka warisan ini tidak boleh ditolak sama sekali, di mana penerimanya terpaksa menerima tawaran menjadi tuan, atau berdepan risiko melihat keluarga sendiri diporak-perandakan. Beliau menegaskan bahawa keseraman sebenar filem ini bukan datang daripada entiti itu sendiri, tetapi menerusi kesan akibat perbuatan manusia yang memilih untuk bersekutu dengan kejahatan tersebut.
Diterbitkan secara usaha sama oleh Red Communications dan Komet Productions, filem berkelas antarabangsa ini mempertaruhkan gandingan mantap bintang tersohor Indonesia, Aghniny Haque sebagai Melor dan aktor berkaliber tempatan, Datuk Remy Ishak yang memegang watak suaminya yang panas baran, Awang.

Menariknya, ini merupakan kemunculan pertama Aghniny di dalam sebuah produksi berskala besar di Malaysia. Turut membintangi naskhah epik ini ialah Siti Khadijah Halim, June Lojong, serta pelakon kanak-kanak Zarra Zhaff dan pendatang baharu, Karl’ El. Satu fakta yang menarik, kedua-dua pelakon cilik yang menjayakan watak anak kepada Melor ini rupa-rupanya merupakan adik-beradik kandung di dunia sebenar.
Selain menampilkan naratif yang kuat hasil tulisan skrip Fariza Azlina Isahak, filem Khadam turut menyimpan pelbagai fakta menarik serta kejadian misteri di sebalik tabir pembikinannya yang menambah lagi aura seram naskhah ini.
Bagi menghidupkan suasana kampung terpencil era 1950-an dengan lebih autentik, pihak produksi telah mengambil pendekatan luar biasa dengan membuka sebuah rumah sebenar di Raub, Pahang secara berperingkat sebelum memindahkannya ke Gopeng, Perak untuk dipasang semula. Usaha ini jelas mencerminkan komitmen tinggi produksi dalam memastikan setiap elemen visual tampil realistik dan menepati latar zaman yang ingin digambarkan.
Menariknya, bahasa isyarat yang digunakan oleh watak Melor dan ahli keluarganya dalam filem ini bukanlah bahasa isyarat sebenar. Sebaliknya, ia dicipta khas bagi membentuk identiti dunia tersendiri dalam Khadam, sekali gus menguatkan elemen pengasingan dan kesunyian yang menjadi antara teras emosi penceritaan.
Lebih menyeramkan, pembikinan filem ini turut dikaitkan dengan kejadian misteri apabila munculnya ‘tetamu’ tidak diundang ketika penggambaran. Dalam satu adegan yang memaparkan watak Puteh membawa Nek Mak ke dalam hutan, rakaman menunjukkan kelibat lima figura misteri, sedangkan pihak produksi hanya menggunakan empat orang pelakon tambahan pada ketika itu. Kejadian ini menambahkan lagi kisah seram di sebalik tabir yang seolah-olah selari dengan tema filem itu sendiri.
Adakah Melor berjaya mendapatkan kembali kehidupannya dan merampas identitinya, atau dia terpaksa membuat pengorbanan besar demi menamatkan kegelapan yang melanda keluarganya?. Filem yang turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ini dijangka membiarkan penonton merenung jauh mengenai siapa sebenarnya yang berhati syaitan di dalam kisah ini.
