Istana Negara Umum Penarikan Balik Darjah Kebesaran Mohd Isa Samad
- oleh Editor MYBUZZ
- 11 Jun 2026 2:13 pm
Agong Perkenan Tarik Balik Gelaran Tan Sri Mohd Isa Samad Berkuat Kuasa 8 Jun 2026
PUTRAJAYA: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan keputusan untuk menarik balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) ke atas Dato’ Haji Mohd Isa Abdul Samad.
Penarikan balik darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ kepada beliau itu telah dikuatkuasakan secara rasmi pada 8 Jun lepas.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi satu kenyataan media rasmi pada hari ini memaklumkan, tindakan pelucutan darjah kebesaran tersebut diambil susulan sabitan jenayah yang dijatuhkan ke atas bekas Pengerusi Felda berkenaan.

“Penarikan balik ini adalah bersangkutan dengan beliau telah disabitkan kesalahan dan kini sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor,” jelas JPM dalam kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, JPM memaklumkan keputusan pelucutan kurniaan ini adalah amat bertepatan serta selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia di bawah perenggan XXV dan XXVIA. Berdasarkan peruntukan statut tersebut, mana-mana darjah kebesaran boleh ditarik balik penganugerahannya sekiranya penama didapati bersalah dan disabitkan dengan sesuatu kesalahan.
Tambah kenyataan itu lagi, tindakan tegas ini juga menjunjung titah amaran daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran.
Peringatan tersebut pernah disuarakan oleh Baginda ketika bertitah sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bertempat di Istana Negara pada 7 September 2024 yang lalu.
