Selepas 30 Tahun Dalam Industri, Ebby Yus Tampil Dalam Lagu Raya ‘Jom Balik Raya’ Bersama Bakat Viral TikTok
- oleh Editor MYBUZZ
- 9 Mar 2026 2:47 pm
KUALA LUMPUR – Industri hiburan tanah air bakal dihangatkan dengan buah tangan istimewa sempena Aidilfitri ini menerusi pelancaran single terbaharu berjudul ‘Jom Balik Raya’. Apa yang mencuri tumpuan, naskhah ini menyaksikan kemunculan pelawak tersohor, Ebby Yus, yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang seni, bergandingan bersama dua bakat muda dan pencipta kandungan tular di aplikasi TikTok, iaitu Usop Gahai dan Fuad Nasir.
Idea asal penyatuan unik ini dicetuskan oleh Fuad Nasir dan mendapat sokongan penuh daripada syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd yang bertindak sebagai pengedar digital. Menurut komposer lagu ini, Pakya Sepahtu, kolaborasi ini ibarat sebuah pertemuan semula antara seorang guru dan anak-anak muridnya.
Hal ini kerana Usop dan Fuad merupakan barisan finalis bagi program komedi ‘Mencari Sepahtu Yang Hilang’ di mana Pakya bertindak selaku juri, manakala Ebby Yus pula menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar mereka.

Menariknya, Pakya turut mendedahkan sisi berbeza Ebby Yus yang rupa-rupanya memiliki kelunakan vokal yang merdu untuk menyanyi, namun kurang mendapat pendedahan dalam industri muzik sebelum ini.
Tampil dengan kelainan yang tersendiri, naskhah ‘Jom Balik Raya’ mengangkat sepenuhnya keunikan penggunaan loghat Negeri Sembilan. Bagi Ebby Yus, beliau berasa amat teruja dengan projek ini memandangkan mereka bertiga berkongsi latar belakang dari negeri yang sama, di samping membawa misi untuk memartabatkan semula dialek ‘Nogori’ yang semakin kurang diketengahkan oleh penyanyi masa kini.
Lirik lagu ini, yang mendapat sentuhan bersama oleh ketiga-tiga figura tersebut, banyak diinspirasikan daripada gelagat dan ragam perantau yang ingin pulang ke kampung halaman. Walaupun lagu ini dibawakan dengan melodi yang ceria, Fuad Nasir menyifatkan ia tetap sarat dengan elemen nostalgia serta pesanan nasihat yang disampaikan dalam nada bergurau dan bersahaja.
Selain menyemarakkan lagi kegembiraan sambutan Syawal, Ebby Yus menaruh harapan agar karya ini mampu menjadi siulan pelbagai lapisan masyarakat dan bertindak sebagai satu peringatan mesra buat golongan anak-anak agar tidak pernah melupakan ibu bapa yang sedang sarat merindu di kampung.
Bagi peminat yang tidak sabar untuk berhibur dengan karya ‘Nogori’ ini, video muzik rasmi ‘Jom Balik Raya’ boleh mula ditonton menerusi saluran YouTube pada 6 Mac. Sementara itu, lagu ini bakal menjengah ke semua platform penstriman digital bermula 13 Mac hadapan.
