Ikuti Kami:

Keputusan SPM 2025 Diumumkan 31 Mac ini: 413,299 Calon Bakal Terima Keputusan

Keputusan SPM 2025 Diumumkan 31 Mac ini: 413,299 Calon Bakal Terima Keputusan

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara rasmi mengumumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2025 akan dikeluarkan pada 31 Mac 2026, bersamaan dengan hari Selasa. Peperiksaan kali ini melibatkan seramai 413,299 calon yang telah berdaftar dan menduduki ujian tersebut di 3,350 pusat peperiksaan yang disediakan di seluruh negara.

KPM turut memberikan jaminan agar setiap sekolah memastikan proses penyerahan keputusan kepada para pelajar dilaksanakan dengan penuh cekap serta teratur bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada hari tersebut. Bagi calon sekolah, slip keputusan boleh diperoleh secara fizikal di sekolah masing-masing bermula jam 10:00 pagi pada tarikh pengumuman tersebut.

Sementara itu, bagi calon persendirian, mereka dikehendaki menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tempat pendaftaran dibuat untuk mendapatkan keputusan masing-masing. Arahan ini dikeluarkan bagi memastikan setiap calon mendapat akses yang betul terhadap pencapaian akademik mereka secara rasmi melalui saluran yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

Selain kaedah konvensional, KPM turut menyediakan dua alternatif semakan secara digital bagi memudahkan calon membuat semakan dengan lebih pantas melalui semakan dalam talian dimana calon boleh melayari pautan rasmi di myresultspm.moe.gov.my untuk memuat turun slip keputusan peperiksaan mereka. Kemudahan ini akan mula diaktifkan pada jam 10:00 pagi, 31 Mac sehingga jam 6:00 petang pada 6 April 2026.

Calon juga boleh mengunakan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan mendapatkan ringkasan keputusan dengan menaip SPM No.KP Angka Giliran dan menghantarnya ke talian 15888. Perkhidmatan SMS ini akan beroperasi mengikut tempoh masa yang sama dengan sistem semakan dalam talian.

Pihak kementerian turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon yang telah berusaha gigih menduduki peperiksaan ini. KPM menaruh harapan tinggi agar keputusan yang diraih nanti dapat menjadi pemangkin serta semangat untuk para pelajar terus melakar kecemerlangan dalam bidang pendidikan mahupun kerjaya pada masa hadapan.

Loading...