Rockqueen Ella ‘Balik Kampung’! Gegar Batu Kawan Julai Ini
- oleh Editor MYBUZZ
- 9 May 2026 3:40 pm
KUALA LUMPUR – Susulan kejayaan luar biasa menghimpunkan lebih 55,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ratu Rock negara, Ella kini bersedia untuk meneruskan fenomena beliau ke utara tanah air. Menerusi satu sidang media khas yang diadakan di Odeon Kuala Lumpur pada 5 Mei lalu, pihak Hitman Solutions bersama Rockqueen secara rasminya mengumumkan penganjuran konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru. Acara mega ini dijadualkan berlangsung pada 25 Julai 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi konsert kali ini membawa nilai sentimental yang cukup mendalam memandangkan ia merupakan negeri kelahiran Ella, atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin.

Return paling dinanti! Ella ‘Pulang’ dengan Konsert Mega 60 Permata Biru
Lebih istimewa, acara ini dianjurkan bertepatan dengan sambutan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-60 pada bulan Julai, menjadikannya satu keraian epik selepas hampir empat dekad mewarnai industri seni. Bukan itu sahaja, kepulangan Ella ke utara ini bakal mencatatkan satu rekod baharu apabila beliau bakal diangkat sebagai artis pertama yang menganjurkan konsert solo di stadium berkenaan.
Tidak sekadar menyajikan persembahan muzik, konsert ini turut menerapkan nilai tanggungjawab sosial dengan mengajak peminat untuk menyumbang kembali kepada komuniti menerusi kempen Peace. Love. Rindu.. Sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada badan kebajikan.
Menariknya, para pemegang tiket diberi peluang untuk memainkan peranan secara langsung dalam usaha kebajikan melalui konsert ini. Mereka boleh mengundi badan kebajikan pilihan yang ingin disumbangkan berdasarkan tiga kategori utama, menjadikan setiap pembelian tiket lebih bermakna dan berimpak kepada masyarakat.

Lebih dari hiburan, konsert Ella jadi platform berbakti kepada komuniti
Bagi kategori Peace, badan kebajikan yang dipilih ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang, yang giat melaksanakan pelbagai inisiatif kemasyarakatan. Sementara itu, kategori Love diwakili oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN), yang memfokuskan kepada bantuan dan perlindungan sosial kepada golongan memerlukan.
Manakala bagi kategori Rindu, sokongan akan disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), yang memperjuangkan kebajikan penggiat seni tempatan. Pendekatan ini bukan sahaja menghubungkan peminat dengan muzik, tetapi turut menggalakkan mereka menyumbang kepada komuniti melalui pilihan yang mereka buat.
Harga tiket serendah RM39! Ini yang buat konsert Ella kali ini lain daripada yang lain
Bagi memastikan peminat daripada pelbagai lapisan masyarakat dapat bersama-sama merayakan momen bersejarah ini, pihak penganjur telah menetapkan harga tiket bermula serendah RM39. Inisiatif ini mencerminkan komitmen untuk menjadikan konsert ini lebih inklusif dan boleh diakses oleh semua, tanpa mengira latar belakang.
Jualan akses awal akan dibuka pada 8 Mei 2026, khusus kepada para pemegang tiket Aras 3 yang pernah menghadiri konsert Majlis Tertinggi Rockqueen di Kuala Lumpur sebelum ini. Mereka akan diberikan keutamaan sebagai penghargaan atas sokongan berterusan terhadap perjalanan konsert ini.
Sementara itu, jualan umum akan dilancarkan secara rasmi kepada orang ramai pada 11 Mei 2026 menerusi laman sesawang www.hitmanlive.com. Ini memberikan peluang kepada lebih ramai peminat untuk mendapatkan tempat dan menjadi sebahagian daripada pengalaman muzik yang istimewa ini.
Menurut Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, En. Rohit Rampal, penganjuran konsert di wilayah utara ini membuka ruang yang lebih luas kepada peminat di kawasan tersebut untuk merasai sendiri pengalaman yang menyatukan jiwa melalui muzik. Pada masa sama, ia memberi peluang kepada mereka untuk menjadi sebahagian daripada komuniti eksklusif yang dikenali sebagai ‘Ahli Majlis Tertinggi’.




