Beto Kusyairy, Zahirah Macwilson Berdepan Igauan Ngeri! Mira Mustaffa Kembali Dengan Naskhah Premium ‘Good Boys Go To Heaven’, Rungkai Misteri Kanak-Kanak Hilang
- oleh Editor MYBUZZ
- 8 May 2026 8:58 pm
KUALA LUMPUR – Jenama drama premium Astro Originals terus memperkukuhkan dominasinya dalam industri seni tanah air dengan naskhah thriller psikologi terbaharu, ‘Good Boys Go To Heaven’ yang bakal menemui penonton bermula malam ini.
Naskhah kali ini bukan sekadar menawarkan debaran saspens, malah mengangkat isu sensitif yang sering menghantui masyarakat iaitu trauma kehilangan serta jenayah kejam melibatkan kanak-kanak.

Drama terbitan Astro Shaw ini menampilkan pelakon berkaliber, Beto Kusyairy yang menggalas watak sebagai Yasser. Plot cerita bermula apabila kehidupan Yasser berubah menjadi gelap selepas anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum jasadnya ditemui dalam keadaan tragis akibat dibunuh dengan kejam.
Turut memperkukuhkan siri ini ialah pelakon jelita Zahirah Macwilson. Gandingan dua bintang utama ini dijangka bakal merobek emosi penonton dalam menzahirkan penderitaan serta konflik jiwa yang dialami oleh ibu bapa yang kehilangan permata hati mereka.

Kekuatan utama ‘Good Boys Go To Heaven’ terletak pada garapan skrip dan hala tuju kreatif oleh pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM), Mira Mustaffa. Bertindak sebagai showrunner, Mira yang sebelum ini cukup sinonim dengan karya pecah panggung seperti Sangkar, Nur Kasih, Cinta dan Sepi, kini mencabar naratif seni tempatan dengan penceritaan yang lebih gelap dan berimpak.
Bagi memastikan kualiti produksi berada pada tahap tertinggi, pengarah siri fenomena One Cent Thief, Ariff Zulkarnain, sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengemudi siri ini.
Selain aspek hiburan, siri ‘Good Boys Go To Heaven’ membawa misi besar dalam memberi peringatan kepada masyarakat mengenai isu kehilangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan. Pihak produksi berharap agar kisah-kisah seperti ini tidak sekadar muncul seketika di dada berita sebelum dilupakan, sebaliknya menjadi pengajaran buat semua pihak.
“Kami berharap naskhah ini dapat menjadi satu peringatan agar kisah-kisah kehilangan kanak-kanak ini tidak hanya muncul seketika di dada berita sebelum terus dilupakan,” menurut Raja Jastina Raja Arshad selaku Penerbit Eksekutif ‘Good Boys Go To Heaven’, merangkap Ketua Astro Shaw & Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara, Astro

Peminat drama premium boleh menyaksikan ‘Good Boys Go To Heaven’ secara eksklusif bermula 8 Mei 2026. Episod baharu akan tersedia setiap Jumaat bermula jam 12 tengah malam secara On Demand menerusi Astro GO dan aplikasi Sooka.
Bagi siaran televisyen, penonton boleh menyaksikannya pada jam 9.00 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108). Jangan lepaskan peluang untuk menyelami sebuah karya yang sarat dengan pengajaran dan debaran ini.
