Bukan Sekadar Drama! ‘Cahaya Anak Lorong’ Singkap Realiti Pahit, Izzue Islam Gadai Nyawa Demi Pelajar Jalanan
- oleh Editor MYBUZZ
- 7 May 2026 2:56 pm
KUALA LUMPUR – Di sebalik kepesatan ibu kota, wujud sebuah realiti pahit kehidupan remaja terpinggir yang sering dilabel oleh masyarakat sebagai ‘anak lorong’. Kisah golongan yang jarang didengari dan sering dihukum ini bakal dikupas secara mendalam menerusi naskhah terbaharu slot Samarinda TV3 berjudul Cahaya Anak Lorong.
Drama bersiri 13 episod yang menjanjikan elemen emosi dan realiti ini merupakan terbitan Mache Allstar United dan mendapat sentuhan pengarah Pali Yahya. Ia menampilkan barisan pelakon handalan tanah air seperti Izzue Islam, Ranea Ezreen, Fariz Isqandar, Syad Mutalib, dan Areef Amran. Secara keseluruhannya, Cahaya Anak Lorong mengangkat mesej perjuangan untuk bangkit dari kegelapan di tengah-tengah ancaman jenayah dan dunia jalanan yang memanipulasi remaja.
Menerajui watak utama, pelakon popular Izzue Islam memegang karakter sebagai Cikgu Amir, seorang pendidik yang terpaksa berpindah ke Sekolah Bimbingan Kasih (SBK). Setibanya di sekolah tersebut, dia berhadapan dengan pelajar-pelajar bermasalah yang hidup di luar norma biasa, membuatkan dia nekad untuk memohon pertukaran keluar secepat mungkin.

Izzue Islam terajui “Cahaya Anak Lorong”, angkat kisah kehidupan anak lorong.
Antara pelajar jalanan yang mencabar kesabarannya ialah Sofea (Ranea Ezreen), Bad (Fariz Isqandar), dan Mok (Azrell Iskandar). Ketiga-tiga remaja ini hidup dengan cara mereka sendiri di lorong-lorong gelap, termasuklah terpaksa menyeluk saku demi meneruskan kelangsungan hidup.
Lebih memburukkan keadaan, kelicikan remaja-remaja ini telah menarik perhatian seorang pemuda setempat bernama Hakimi (Areef Amran). Hakimi mengambil kesempatan tersebut dengan cuba merekrut golongan jalanan ini untuk dijadikan sebagai keldai dadah. Dalam pada itu, sikap memberontak Sofea yang sering mengenakan guru-guru di SBK, termasuk melabel Cikgu Amir sebagai individu yang “kekwat”, menambah lagi tekanan buat pendidik tersebut.
Terdesak untuk keluar, Cikgu Amir memohon pertukaran, namun dia diberikan satu syarat yang berat iaitu dia wajib memastikan pelajar-pelajar liarnya itu lulus ujian 3M (membaca, menulis, dan mengira) terlebih dahulu. Dari titik persimpangan itulah, Cikgu Amir mula menyelami dunia mereka yang penuh bahaya, mencetuskan persoalan sama ada dia berjaya menyelamatkan mereka atau sebaliknya ditarik jauh ke dalam kancah kegelapan.

Mengulas mengenai wataknya, Izzue Islam menyifatkan Cikgu Amir bukanlah watak seorang hero yang sempurna kerana karakter itu pada mulanya sarat dengan ego dan persepsi buruk terhadap pelajarnya. Namun, watak itu perlahan-lahan berevolusi untuk melihat realiti dunia dari perspektif yang berbeza.
“Kadang-kadang kita terlalu cepat melabel orang. Tapi bila kita benar-benar dengar cerita mereka, kita sedar hidup mereka tak pernah beri pilihan yang mudah,” luah Izzue Islam berkongsi pandangannya mengenai jiwa anak-anak lorong.
Bagi penonton yang menantikan sebuah karya yang sarat dengan mesej kemanusiaan, jangan lepaskan peluang untuk menonton Cahaya Anak Lorong yang bakal bersiaran mulai 7 Mei 2026. Drama ini akan menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam eksklusif di TV3. Bagi yang ingin menonton lebih awal, episod baharu boleh distrim 24 jam lebih awal menerusi platform www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
