RE:START Bukan Sekadar Album, Ini Kisah Kebangkitan Semula Sakura Band
- oleh Editor MYBUZZ
- 22 Apr 2026 2:29 pm
KUALA LUMPUR – Selepas melalui tempoh rehat yang agak panjang dan menyepi dari radar industri muzik tempatan, Sakura Band kini kembali menggegarkan pentas dengan melancarkan album terbaharu mereka yang diberi judul RE:START.
Menandakan satu titik kebangkitan semula buat kumpulan ini, pelancaran album penuh bermakna itu telah disempurnakan menerusi satu persembahan istimewa di Hard Rock Café, Kuala Lumpur pada 17 April 2026.

Mewakili Sakura Band, penyanyi utamanya, Mell atau nama sebenar Melly Matius berkata, pemilihan nama RE:START itu bukanlah sekadar simbolik atau gimik semata-mata, sebaliknya ia melambangkan fasa baharu dan kemunculan semula mereka selepas lama berehat. Jelasnya, daripada sudut susunan muzik, album kali ini memperlihatkan sisi matang Sakura Band yang lebih berani meneroka genre pop rock dengan elemen eksperimen dan bunyi yang lebih ‘berat’.
Biarpun begitu, identiti asal kumpulan pop itu tetap dikekalkan.Lebih membanggakan, RE:START merupakan pengalaman pertama Sakura Band bertindak menghasilkan dan menerbitkan (produce) album mereka sendiri secara bebas.
Bagi memastikan peminat lama tidak kekok dengan transisi tersebut, kumpulan ini mempertaruhkan Masih sebagai lagu single pertama. Lagu berunsurkan pop yang kuat itu disifatkan mempunyai aura yang hampir sama dengan lagu hit mereka terdahulu, Melepaskanmu, sekali gus bertindak sebagai ‘jambatan’ buat para pendengar.

Album ini turut mendapat sentuhan emas nama-nama besar dalam industri. Mereka kembali bekerjasama dengan penyanyi dan penulis lagu, Adi 6ixth Sense, selain menjalin kolaborasi pertama bersama Laq, iaitu gitaris kumpulan Akim & The Majistret. Kerjasama mantap ini dizahirkan menerusi kelancaran proses rakaman lagu Masih dan Bulan & Bintang.
Bercerita lanjut mengenai proses pembikinan album yang telah bermula sejak Januari 2025 itu, Mell mendedahkan pendekatan penulisan lagu mereka cukup autentik. Kebanyakan karya diinspirasikan daripada pengalaman peribadi, realiti kehidupan, serta apa yang berlaku di sekeliling mereka supaya ia dekat di hati pendengar.
Pihaknya juga tidak menafikan wujud cabaran sepanjang tempoh pembikinan, khususnya kesukaran mencari idea segar serta mengekalkan momentum berikutan komitmen peribadi setiap ahli.
Berikut merupakan senarai lapan buah lagu yang dimuatkan dalam album RE:START, yang menampilkan karya-karya segar dengan variasi tema dan emosi tersendiri.
Album ini dimula dengan trek pengenalan RE:START, diikuti lagu berentak bertenaga 1,2,3 GO!. Turut dimuatkan ialah Impian, Sahabat Sejati dan Manusia Biasa, yang mengetengahkan sisi emosi dan realiti kehidupan. Melengkapkan perjalanan album ini ialah lagu Tikam Belakang, Masih, serta Bulan & Bintang, sekali gus menjadikan RE:START sebuah himpunan karya yang seimbang dari segi mesej, melodi dan penceritaan.
Bagi peminat yang rindu akan alunan suara Mell dan petikan alat muzik Sakura Band, album RE:START terbitan Seventeen Eleven Music kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital utama bermula 17 April 2026. Manakala, video muzik rasmi Masih turut dilancarkan pada hari yang sama di saluran YouTube rasmi Seventeen Eleven Music. Kumpulan ini berharap buah tangan terbaharu ini mampu mengukuhkan lagi kedudukan nama Sakura Band dalam persada industri hiburan negara.
