Karyawan & FINAS Terus Bela Nasib Anak Seni Menerusi Golf Amal Selebriti Ke-5!
- oleh Editor MYBUZZ
- 22 Apr 2026 1:54 pm
KUALA LUMPUR – Dalam kemeriahan industri hiburan tanah air, masih ada segelintir penggiat seni dan pekerja belakang tabir yang bergelut dengan cabaran hidup. Menyedari realiti ini, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) enggan duduk diam, sebaliknya meneruskan inisiatif murni mereka menerusi penganjuran Golf Amal Selebriti Kali Ke-5.
Bakal berlangsung pada Ahad, 10 Mei 2026 bertempat di padang hijau Kota Seriemas Golf & Country Club, Nilai, kejohanan yang bermula pada jam 12.00 tengah hari ini bukan sekadar acara sukan biasa. Ia adalah sebuah platform solidariti yang menggabungkan sukan, hiburan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi mengutip dana kebajikan buat artis serta penggiat filem di bawah naungan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).
Disokong penuh oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), penganjuran edisi kelima ini dilihat sebagai satu manifestasi keutuhan sinergi antara pemain industri seni, sektor korporat dan masyarakat setempat.

Presiden Karyawan, Dato’ Freddie Fernandez, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi FINAS, Dato’ Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib atas sokongan padu yang diberikan. Malah, kedua-dua figura penting FINAS itu dijangka akan turut serta menghayun kayu golf di atas padang kelak.
Kejayaan penganjuran terdahulu di lokasi-lokasi berprestij seperti Templer Park Country Club, Staffield Country Resort dan Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) menjadi penanda aras bahawa inisiatif kebajikan ini sentiasa mendapat sambutan positif pelbagai pihak.
Bagi merancakkan lagi kutipan dana pada tahun ini, Karyawan membuka pintu seluas-luasnya kepada syarikat korporat, GLC, institusi kewangan serta individu persendirian untuk tampil menjadi rakan strategik penaja.
Menariknya, penglibatan sebagai penaja bukan sahaja membuka ruang untuk menyumbang kepada kelestarian hidup penggiat seni tempatan, malah turut menawarkan pulangan nilai promosi yang menyeluruh. Setiap penaja akan menerima pendedahan melalui pelbagai saluran publisiti dan kempen media sepanjang penganjuran acara ini.

Bagi tujuan itu, tiga kategori penajaan disediakan untuk memberi fleksibiliti kepada pihak korporat dan individu yang berminat. Kategori Penaja Emas (Gold Sponsor) ditawarkan pada nilai RM10,000 dan merangkumi penyertaan seramai lapan pemain dengan dua flight percuma.
Sementara itu, Penaja Perak (Silver Sponsor) bernilai RM5,000 pula melayakkan penyertaan empat pemain berserta satu flight percuma. Bagi pihak yang ingin menyumbang dalam skala lebih kecil, Penaja Lubang (Hole Sponsor) ditawarkan pada kadar RM1,000 termasuk penyertaan dua pemain secara percuma.
Semua penaja yang budiman akan diberikan pengiktirafan meluas merangkumi kempen media, bahan publisiti rasmi, penyerahan cek cura (mock cheque) semasa sidang media, serta penjenamaan korporat di hari kejohanan dan pada majlis Makan Malam Gala serta Penyampaian Hadiah.
Golf Amal Selebriti ini membuktikan bahawa sokongan yang diberikan oleh pihak korporat bukan sekadar menaja sebuah kejohanan sukan, tetapi menjadi talian hayat dan sumbangan bermakna kepada wira-wira seni yang telah banyak mewarnai landskap budaya negara.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai atau menyalurkan sumbangan, deposit boleh dibuat terus ke akaun rasmi Persatuan Karyawan Malaysia (Public Bank: 3108024130).
Sebarang maklumat lanjut berhubung penyertaan dan penajaan, pihak yang berminat boleh menghubungi terus Dato’ Freddie Fernandez di talian 012-2071400 atau menerusi e-mel di fredez2009@gmail.com.
Kredit Foto: FB/FinasMalaysia
