Nuha Bahrin Berbisik Rindu! Sentuhan ‘Midas’ Ezra Kong Terjemah Emosi Mendalam ‘Malam-Malam’
- oleh Editor MYBUZZ
- 23 Apr 2026 3:40 pm
KUALA LUMPUR – Siapa sangka, rintihan kerinduan anggota polis yang terpaksa bertugas di pagi raya mampu mencetuskan inspirasi untuk sebuah naskhah cinta yang meruntun jiwa? Itulah magis komposer prolifik, Ezra Kong, yang terkenal dengan julukan sentuhan ‘Midas’ kerana kejayaannya menghasilkan deretan lagu hit. Menerusi projek kreatif terbaharunya, mimpi., Ezra kembali mempertaruhkan karya emasnya menerusi single terbaharu nyanyian Nuha Bahrin berjudul Malam-Malam.
Mula melonjak naik menerusi fenomena lagu Casablanca, Nuha kini tampil dengan kematangan vokal yang berbeza. Lagu berentak pop Melayu moden ini disuntik dengan keunikan elemen instrumen muzik Arab dan Sepanyol, mencipta buaian emosi yang tenang namun sarat dengan rasa melankolik.

Berkongsi cerita di sebalik penciptaan lagu tersebut, Ezra mendedahkan ilham itu datang tatkala mendengar luahan rakan-rakannya dalam pasukan beruniform yang bekerja ketika insan lain sedang bergembira menyambut lebaran.
“Perasaan rindu itu saya olah menjadi sentuhan romansa buat mereka yang menunggu insan tersayang pulang dari tugas. Apabila lagu ini dipadankan dengan Nuha Bahrin, terasa jelas bahawa lagu ini menemukan pemilik yang tepat,” ujar komposer yang karya-karyanya sering membolot anugerah utama industri muzik tempatan itu.

Bagi Nuha pula, Malam-Malam bukan sekadar nyanyian tentang pasangan kekasih. Di sebalik bait lirik yang mengisahkan rindu kepada seseorang yang jauh, penyanyi jelita ini mengakui lagu tersebut mempunyai kaitan peribadi yang sangat mendalam buat dirinya.
“Nuha sangat relate dengan lagu ini bila teringat versi diri yang lama. Waktu malam selalunya buat Nuha overthink (berfikir terlalu jauh) dan rindu pada diri sendiri yang dulu, yang lebih yakin dan carefree (tidak terikat),” luah Nuha penuh ikhlas.
Beliau turut merindui momen di mana beliau tidak terlalu mempedulikan pandangan skeptikal orang lain terhadap dirinya.Bagi menjiwai karya tulisan Ezra dan Sufairah Mohd ini , Nuha mengambil pendekatan untuk menyuntik emosi yang lebih mentah (raw) dan jujur di dalam lontaran vokalnya.
“Ada sedikit rasa geram, seperti tertanya ‘kenapa you tiba-tiba hilang?’ Jadi, Nuha seimbangkan kelembutan vokal dengan sedikit emosi dan longing (kerinduan) supaya pendengar benar-benar dapat merasai kekosongan itu,” tambahnya lagi.
Naratif rindu ini diperhebatkan lagi dengan pelancaran muzik video Malam-Malam yang membawakan visual puitis dan penuh simbolik. Membawa konsep dua dunia selari, watak lelaki yang digambarkan sering hadir menemani rupa-rupanya hanyalah bayangan memori masa lalu yang belum terlerai.
Bakal dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026 , gabungan melodi rentas budaya dan emosi telus ini diharap mampu menjadi teman setia buat jiwa-jiwa yang sedang menahan rindu di keheningan malam.
