Ikuti Kami:

Hamil 5 Bulan Tak Halang Wawa Shazwa Lontar Vokal Padu Dalam ‘Menduakan Cinta’

Hamil 5 Bulan Tak Halang Wawa Shazwa Lontar Vokal Padu Dalam ‘Menduakan Cinta’

KUALA LUMPUR: Walaupun sedang sarat hamil lima bulan ketika proses rakaman berlangsung, penyanyi Wawa Shazwa tetap memberikan komitmen vokal yang jitu demi melengkapkan buah tangan terbaharu bersama pasangan duetnya serasinya, Ahmad Syafiq. Tampil dengan naskhah berjudul ‘Menduakan Cinta’, lagu berentak balada ini menonjolkan kematangan vokal dan menuntut permainan emosi yang lebih mendalam daripada kedua-dua penyanyi tersebut.

Menurut Wawa, keadaan dirinya yang berbadan dua sama sekali tidak menjadi penghalang untuk menjiwai lagu yang mengisahkan tentang pengorbanan hati dan perpisahan itu.

“Ia menyentuh perasaan bersalah apabila seolah-olah ‘menduakan cinta’ yang pernah dibina. Walaupun perasaan sayang itu masih kuat, pilihan untuk berpisah terpaksa dibuat demi kebaikan semua pihak,” kongsi Wawa yang tetap memberikan hasil vokal terbaik ketika usia kandungannya memasuki bulan kelima.

Hamil 5 Bulan Tak Halang Wawa Shazwa Lontar Vokal Padu Dalam Menduakan Cinta

Menariknya, bagi memastikan kualiti vokal dan emosi rintihan yang disampaikan berada pada tahap maksimum, proses rakaman lagu ini sanggup dilakukan sebanyak dua kali di studio.

Sementara itu, bagi Ahmad Syafiq pula, naskhah balada kali ini benar-benar menguji keserasian mereka menerusi genre yang berbeza.

“Ia bukan sekadar lagu, tetapi satu rintihan jiwa. Menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus bagi memastikan naskhah ini benar-benar sampai ke hati pendengar,” tegasnya.

Pasangan duet ini sebelum ini pernah mencipta fenomena tersendiri apabila rakaman semula lagu ‘Buat Insan Tersayang’ nyanyian asal Eddie Hamid dan Ashira, berjaya meraih lebih satu juta tontonan di platform YouTube.

Lagu ‘Menduakan Cinta’ mendapat sentuhan istimewa dan bimbingan komposer tersohor, Eddie Hamid, bersama Barr Hadif dan Aiman Zaidi. Liriknya pula adalah hasil nukilan bersama ketiga-tiga komposer tersebut yang turut dibantu oleh Hakim Hakimi dan Jaju. Keakraban pasukan produksi serta arahan yang jelas daripada Eddie Hamid memudahkan urusan rakaman, sekaligus membantu pasangan duet ini meresapkan rintihan jiwa ke dalam melodi lagu tersebut.

Lagu ini membawa naratif konflik dua insan yang saling menyayangi namun akur dengan ketentuan takdir bahawa cinta lama tidak lagi dapat diselamatkan.Lebih istimewa, naskhah terbitan Nova Music Malaysia ini turut diangkat menjadi lagu runut bunyi (OST) bagi drama bersiri terbaharu, ‘Bayangan Lelaki Sempurna’.

Drama 28 episod arahan dan terbitan produksi tempatan itu kini sedang rancak bersiaran menerusi slot Akasia di TV3 pada setiap jam 7 malam, membariskan pelakon popular seperti Adam Lee, Sweet Qismina, dan Nadia Brian.Peminat kini boleh menstrim ‘Menduakan Cinta’ di semua platform penstriman muzik digital utama. Video muzik rasmi pula sudah sedia untuk ditonton di saluran YouTube rasmi ‘Nova Music Videos’.

Loading...