Dari Influencer ke Penyanyi, Ceddy Ang Temui Sisi Baharu Dalam Asal Ada Kamu
- oleh Editor MYBUZZ
- 24 Apr 2026 12:18 pm
KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial terkenal yang kini semakin ligat melebarkan sayap ke persada nyanyian, Ceddy Ang, 37, terus mengukuhkan profil seninya dengan melancarkan buah tangan terbaharu berjudul Asal Ada Kamu. Menariknya, idea bagi penghasilan lagu bernuansa pop retro era 80-an ini rupa-rupanya tercetus daripada sebuah momen unik, iaitu ‘perang’ bertentang mata bersama kucing peliharaannya sendiri!.
Menurut anak kelahiran Pulau Pinang ini, kejadian berbalas tenungan dengan kucing kesayangannya yang diberi nama Angel itu telah membuatkan fikirannya melayang jauh, lantas membuahkan rasa ingin tahu mengenai kedalaman makna sesebuah perhubungan.
Menyifatkan detik tersebut sebagai sesuatu yang cukup istimewa, Ceddy mendedikasikan karya terbaharunya ini kepada segala hal terpenting di dalam kehidupan, tidak kira sama ada buat pasangan, sahabat karib, mahupun haiwan peliharaan yang sentiasa setia menemani di sisi.
“Saya mahukan perasaan itu menjadi sebuah perbualan. Lagu ini adalah dedikasi kepada setiap hal yang terpenting dalam hidup kita. Baik pasangan, sahabat baik, atau haiwan kesayangan yang setia di sisi kita walau dunia berputar macamana pun,” kata Ceddy.

Biarpun frasa ‘Aku Ada Kamu’ itu kedengaran ringkas, beliau menegaskan bahawa ia sebenarnya sarat dengan mesej mendalam mengenai keutuhan sesebuah hubungan, dan direka agar iramanya pantas menyerap ke dalam jiwa pendengar.
Dari sudut susunan muzik, Asal Ada Kamu bertindak sebagai titik tolak yang mempamerkan sisi berbeza Ceddy jika dibandingkan dengan lagu pengenalannya, Selangkah, yang bersifat lebih peribadi dan bermuhasabah. Naskhah kedua ini dilihat mengangkat elemen retro yang bertenaga, sekali gus menonjolkan perwatakan Ceddy yang lebih riang.
Diedarkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, Asal Ada Kamu diperhebatkan lagi dengan paduan bunyi pad synthesizer yang berkilau serta susunan bes berinspirasikan tahun 80-an. Ia secara tidak langsung mencipta sebuah karakter nostalgia yang digabungkan dengan sentuhan pop-synth moden yang kaya dengan emosi.

Karya yang disifatkan megah untuk pentas besar ini telah mendapat sentuhan emas daripada dua komposer dan penulis lirik handalan, iaitu Bo Amir dan MimiFly. Ceddy pada awalnya tidak menafikan wujud rasa gementar apabila terpaksa bekerjasama dengan dua figura muzik tersohor itu.
Walau bagaimanapun, beliau nyata kagum dengan tahap kreativiti luar biasa yang dipamerkan mereka apabila lirik lagu berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh rekod 20 minit sahaja!. Proses rakaman yang diterbitkan sepenuhnya oleh Bo Amir itu juga berjalan dengan sangat lancar hasil keserasian menakjubkan yang terjalin di studio.
Melengkapkan lagi penceritaan lagu ini, sebuah muzik video (MV) rasmi arahan pengarah Pyqul telah dihasilkan dengan mengambil ilham daripada gabungan filem serta karakter ikonik dari zaman kanak-kanak. Pasukan kreatif Nuffsaid yang dikemudi oleh Zulvanny dan Boojae turut menyumbang kepakaran dalam memperhebatkan lagi visual MV tersebut.
Bagi menepati tema 80-an, Ceddy selaku karakter utama telah menyarung busana sentuhan pereka fesyen ternama, Melinda Looi. Lebih mencuri tumpuan, MV ini turut menampilkan ‘penampilan istimewa’ kucing tular kesayangan ramai, King Oyen!.
Bagi pengacara yang pernah mengendalikan rancangan berskala besar seperti The Hardest Singing Show dan Innovathon ini, langkah beraninya dalam bidang muzik membuktikan bahawa beliau bukan sekadar pencipta kandungan ulasan makanan, tetapi seorang penghibur serba boleh.
Lagu Asal Ada Kamu kini sudah mula bergetar di semua platform penstriman digital bermula 17 April 2026, manakala muzik videonya pula telah menemui peminat menerusi platform YouTube sejak 21 April 2026.
