Ikuti Kami:

Bukan Magis Tapi Realiti, 7 ‘Kepala’ Asal Exists Kembali Bergabung Ogos Ini!

Bukan Magis Tapi Realiti, 7 ‘Kepala’ Asal Exists Kembali Bergabung Ogos Ini!

KUALA LUMPUR – Diam mereka ibarat diam gunung berapi! Selepas 35 tahun mewarnai persada seni Nusantara dengan naskhah malar segar, kumpulan legenda Exists sedia mencetuskan satu lagi fenomena besar. Mengubat kerinduan ribuan peminat tegar, kugiran ini bakal tampil dengan sebuah persembahan berskala mega, Konsert Exists Memento Mori.

Lebih mengujakan, konsert yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos 2026 di Unifi Arena, Kuala Lumpur ini bakal melakar sejarah tersendiri apabila ia menyatukan semula tujuh anggota tunjang Exists. Lengkap dengan formasi terkuat, pentas epik ini akan digegarkan dengan gabungan magis Ajai, Shah, Ujang, Along, dan Musa, bersama paduan vokal luar biasa dua penyanyi ikonik mereka, Mamat dan Ezad.

Menurut pihak penganjur, ICON Entertainment, pemilihan judul Memento Mori mempunyai makna yang cukup mendalam. Frasa Latin ini membawa maksud falsafah kehidupan yang mengingatkan kita untuk sentiasa menghargai setiap detik masa yang sedang dilalui.

“Mengekalkan usia 35 tahun dalam industri hiburan terutama beberapa dekad kebelakangan ini dengan pasaran yang tidak menentu bukan hal yang mudah.

“Tapi Exists, seperti maksud namanya wujud, kekal bertahan meski sempat redup kemudian menjadi relevan semula dalam pasaran bukan hanya kerana sikap tetapi karya-karya berkualiti yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Justeru ICON Entertainment sangat berbesar hati membawakan Konsert Exists Memento Mori pada 1 0gos 2026 ini di Unifi Arena sebagai apresiasi dan menghargai setiap momen yang pernah dan sedang Exists hadirkan kepada peminat muzik di Nusantara,” ujar Iman Tang dari Icon Entertainment.

Bukan Magis Tapi Realiti, 7 'Kepala' Asal Exists Kembali Bergabung Ogos Ini!

Bagi Exists, ia adalah manifestasi perjalanan ‘roller coaster’ yang telah mereka tempuh—bermula daripada zaman Untukmu Ibu meledak di pasaran, mendepani fasa turun naik arus industri muzik, sehinggalah mereka terus utuh memikat hati generasi baharu menerusi karya berkualiti tinggi. Ini merupakan konsert berskala besar pertama menggabungkan ketujuh-tujuh mereka semenjak Konsert Exists Reunion yang mencipta fenomena pada tahun 2019.

Pemain gitarnya, Along, menyifatkan penyatuan ini sebagai satu titik kebersamaan buat setiap detik hebat yang pernah mereka lalui selama bergelar anak seni dan sahabat.

“Demi menghargai setiap momen hebat yang telah kami lalui, Konsert Exists Memento Mori adalah manifestasi perjalanan dan perjuangan kami selama ini. Kali ini bertujuh, bersama ‘kepala-kepala’ yang telah mewujudkan Exists menerusi kepercayaan masing-masing,” luah Along penuh makna.

Sentimen tersebut turut dipersetujui oleh Musa yang menambah, “Wujud dalam nyata, senyap diamnya mengeriap ke dalam minda akhirnya.”

Bukan Magis Tapi Realiti, 7 'Kepala' Asal Exists Kembali Bergabung Ogos Ini!

Bagi peminat yang sudah tidak sabar untuk ‘mengintai dari tirai kamar’ dan menyanyikan bait-bait lirik nostalgia bersama, tiket persembahan ini bakal mula dijual pada Khamis, 30 April 2026, tepat jam 11.00 pagi menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my.

Menariknya, bagi menyemarakkan lagi elemen nostalgia, setiap zon tiket konsert ini dinamakan sempena judul lagu-lagu ikonik Exists yang sekian lama ‘berhantu’ dan terpahat dalam ingatan peminat. Inisiatif ini bukan sahaja menghidupkan memori lama, malah memberi sentuhan emosi tersendiri kepada pengalaman menyaksikan konsert tersebut.

Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menjadi sebahagian daripada momen bersejarah ini, harga tiket ditawarkan bermula RM228 untuk kategori Untukmu Ibu, diikuti RM288 (Mencari Alasan), RM328 (Langkah Seiringan), RM388 (Seperti Dulu), RM428 (Rahsia Pohon Cemara) dan RM488 (Percayakan Siti).

Sebagai pilihan paling eksklusif, turut disediakan pakej Jesnita berharga RM5,000 berupa sofa couple, menjanjikan pengalaman menonton yang lebih selesa dan premium buat peminat tegar Exists.

Bagi ICON Entertainment, malam Memento Mori itu nanti bukan sekadar sebuah persembahan biasa, tetapi akan menjadi satu perayaan nostalgia dan langkah masa depan yang penuh ‘bunga’. Pastikan anda bersedia untuk merebut tiket seawal 30 April ini bagi meraikan wira-wira seni yang tidak pernah gentar mendepani arus masa!

Loading...