TV AlHijrah Hidupkan Syiar Haji 1447H: Khutbah Arafah 2026 Jadi Tumpuan Utama
- oleh Editor MYBUZZ
- 24 Apr 2026 1:34 pm
Majlis pelancaran kempen musim haji tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan (Foto Tengah), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
KUALA LUMPUR – Stesen penyiaran Islam utama negara, TV AlHijrah, sekali lagi memperkukuh peranannya sebagai jambatan rohani bagi umat Islam di Malaysia dengan melancarkan rangkaian kandungan khas sempena musim Haji dan Aidiladha 1447H.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan tajaan dua pakej umrah kepada individu dikenali sebagai “Abang Minyak Hitam Jalanan” sebagai penghargaan atas keikhlasan membantu golongan memerlukan.
Menurut Zulkifli, sumbangan itu diberikan kepada Mohd Yusof Mohd Noor yang sebelum ini belum pernah berpeluang menunaikan ibadah haji mahupun umrah.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengetahui hasrat Yusof yang masih belum berkesempatan ke Tanah Suci, sekali gus menjadikan pakej umrah sebagai hadiah paling bermakna.
“Saya sempat bertanya kepada abang Yusof sama ada pernah menunaikan umrah, dan beliau memaklumkan belum pernah. Dalam perbualan itu, saya terfikir hadiah terbaik untuk diberikan, dan pakej umrah adalah pilihan paling sesuai. Semoga segala usaha baiknya terus diberkati,” katanya.
Sementara itu, Yusof meluahkan rasa syukur atas rezeki yang diterima dan berhasrat menghadiahkan peluang tersebut kepada ibunya.
Bertemakan “Arafah: Puncak Munajat & Harapan”, kempen tahun ini memfokuskan kepada pengisian ilmu, penghayatan rohani, serta laporan eksklusif dari Tanah Suci yang dijadualkan berlangsung bermula April hingga penghujung Mei 2026.
Persediaan Ibadah dan Kisah Pengorbanan Sebagai pembuka tirai, program Interaktif Haji telah mula bersiaran sejak 20 April lalu pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 malam.
Program yang dikendalikan oleh pengacara Zaim Zamani ini menampilkan asatizah berpengalaman seperti Ustaz Harryanto Rizal dan Ustazah Yusnah Yusuf bagi memberikan kefahaman ibadah secara praktikal. Menariknya, musim ini turut mengintegrasikan platform digital secara langsung bagi membolehkan penonton bersoal jawab melalui media sosial.
Selain itu, bermula 30 April 2026, para penonton akan dibawa menyelami emosi dan cabaran para pembimbing jemaah menerusi program Kisah Mutawif bersama Ustaz Izzhar Nazri pada setiap Khamis dan Jumaat jam 10 malam.
Laporan Langsung dari Tanah Suci Bagi memastikan rakyat Malaysia dapat merasai denyut nadi di Mekah, TV AlHijrah membawakan Diari Labbaikallah bermula 11 Mei 2026 pada jam 7 malam.
Kapsul khas ini akan melaporkan pergerakan jemaah dan suasana semasa di bumi suci secara langsung. Segmen khas Haji turut dimuatkan dalam rancangan pagi popular Assalamualaikum pada jam 7 pagi, manakala Berita AlHijrah akan membawakan perkembangan terkini daripada Lembaga Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi pada jam 8 malam setiap hari.
Kemuncak Munajat Arafah Tumpuan utama kempen tahun ini adalah pada 26 Mei 2026 (Selasa), di mana TV AlHijrah akan menyiarkan program Munajat Arafah pada jam 5 petang yang sarat dengan tausiyah, zikir, dan alunan ayat suci al-Quran.
Seterusnya, pada jam 7 malam (waktu Malaysia), Khutbah Arafah 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook dan TikTok rasmi TV AlHijrah.
Khutbah tersebut akan disampaikan sendiri oleh Dr. Zulkifli Hasan, khusus buat jemaah haji Malaysia di Padang Arafah.
Penghayatan Aidiladha dan Hari Tasyrik Bagi meraikan Aidiladha, program Peristiwa Hari Tasyrik akan bersiaran pada 28 hingga 30 Mei jam 9 malam.Program ini bertujuan mendidik masyarakat tentang hikmah hari-hari Tasyrik serta menghayati pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang sering kali terlepas pandang oleh masyarakat umum.
Rangkaian program ini merupakan manifestasi komitmen TV AlHijrah untuk menyatukan ummah melalui ilmu dan menyediakan platform bagi seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati kemuliaan musim haji walaupun berada di tanah air.
