MDEC Perhebat Agenda Malaysia Digital 2030 Melalui Jelajah Malaysia Digital 2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 5 Aug 2026 9:30 am
CYBERJAYA: Kementerian Digital (KD) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) terus agresif memacu agenda Malaysia Digital 2030 (MD2030) dengan penganjuran Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026 yang bakal membuka tirainya bermula 8 Ogos ini.
Siri jelajah berskala besar ini merupakan serampang dua mata kerajaan untuk membawa kemahiran, teknologi dan peluang ekonomi digital secara terus kepada komuniti perniagaan serta masyarakat setempat. Inisiatif terbaharu ini bermatlamat untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar, pinggir bandar dan luar bandar.
Menyasarkan capaian penglibatan sehingga 500,000 rakyat secara fizikal dan dalam talian, Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026 memfokuskan kepada golongan pelajar, belia, pencari kerja, pekerja bebas, serta usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Jelajah edisi tahun ini memberi tumpuan kepada empat teras utama pembangunan digital, iaitu Literasi dan Etika Digital, Kerjaya Digital, Pekerjaan Bebas Digital (Digital Freelance), serta Perniagaan dan Keusahawanan Digital.
Bagi menyokong aspirasi menjadikan Malaysia negara berteraskan Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030, pengunjung ke JMD 2026 berpeluang meneroka kerjaya dalam bidang berteknologi tinggi seperti kandungan kreatif, robotik, pertanian pintar dan AI, di samping mencari jalan baharu menjana pendapatan menerusi platform ekonomi digital.

Pelancaran pertama siri JMD 2026 akan berlangsung secara percuma di Dewan Komuniti Damansara Damai, Selangor, pada hari Sabtu ini dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Pelbagai aktiviti dan tawaran menarik disediakan khusus buat pengunjung, termasuk sesi perkongsian industri, bengkel praktikal, jualan langsung, serta demonstrasi dron dan robotik. Para usahawan pula berpeluang mendaftarkan diri dalam pelbagai inisiatif bimbingan MDEC seperti eUsahawan, Global Online Workforce (GLOW) dan program e-Invois Nasional.
Lebih menarik, penganjuran kali ini turut menampilkan PUSPAKOM yang menawarkan pemeriksaan kenderaan berasaskan AI secara percuma untuk 40 kenderaan pertama, manakala ZUS Coffee akan mengagihkan 400 cawan kopi percuma kepada pengunjung. Kaunter perkhidmatan kerajaan seperti pendaftaran MyDigital ID, perkhidmatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan aplikasi MyGOV turut disediakan bagi memudahkan urusan rakyat.
Selepas Selangor, gelombang JMD 2026 akan meneruskan misinya ke Dewan Bistari Ayer Keroh, Melaka pada 15 Ogos 2026. Siri jelajah ini kemudiannya akan melebarkan sayap ke Kuching di Sarawak, Bagan Datuk di Perak, dan bakal berakhir di Pahang.
Orang ramai yang berminat dijemput hadir beramai-ramai bagi merebut peluang mendalami dunia teknologi sekali gus mentransformasikan kehidupan melalui ekonomi digital. Maklumat lanjut mengenai JMD 2026 boleh didapati melalui laman web rasmi MDEC.
