Misi Bawa Bakat Asia Tenggara Ke Pentas Dunia, Fast Track Entertainment & Sony Music Lancar LAUNCHPAD
- oleh Editor MYBUZZ
- 4 Aug 2026 11:40 pm
KUALA LUMPUR – Industri hiburan serantau kini memasuki era baharu apabila gergasi hiburan Fast Track Entertainment (FTE) bekerjasama dengan rakan penjenamaan Sony Music Malaysia melancarkan platform perkembangan artis terbaharu, LAUNCHPAD.
Majlis pelancaran rasmi yang berlangsung di PJ Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya itu menjadi saksi kepada misi besar FTE dalam memperkasakan serta mempercepatkan pembentukan kerjaya bakat-bakat baharu di seluruh Asia Tenggara.
Menerusi platform ini, LAUNCHPAD bukan sekadar mengetengahkan siri persembahan secara langsung berskala intim (intimate showcase), malah disokong oleh pendedahan media serantau, penghasilan kandungan digital asli serta kerjasama strategik penjenamaan bagi membuka peluang komersial baharu buat artis yang sedang meningkat naik.

Pengarah Urusan Sony Music Entertainment, Kenny Ong bersama Ketua Pegawai Eksekutif Fast Track Entertainment, Harris Lim selepas pelancaran LAUNCHPAD di PJ Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya
Rapatkan Jurang Bakat Serantau
Ketua Pegawai Eksekutif Fast Track Entertainment, Harris Lim, menegaskan bahawa LAUNCHPAD direka khusus bagi mengatasi cabaran utama yang sering dihadapi artis baharu untuk menembusi pasaran antarabangsa, seperti kekangan akses media dan rangkaian kerjasama yang terhad.
“LAUNCHPAD merupakan satu langkah penting dalam merealisasikan visi kami untuk membina ekosistem hiburan yang saling berhubung di seluruh Asia Tenggara. Kami percaya seseorang artis dapat berkembang dengan lebih cepat apabila mereka dapat berhubung secara langsung dengan penonton baharu menerusi pengalaman persembahan secara langsung yang istimewa.
“Ini hanyalah permulaan, dan kami berharap dapat terus mengembangkan LAUNCHPAD ke seluruh rantau ini,” katanya.

Kumpulan K-Pop wanita antarabangsa KIIRAS
Gandingan Mantap Artis Antarabangsa & Tempatan
Kemuncak majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan kehadiran serta persembahan memukau daripada barisan artis serantau dan tempatan:
- KIIRAS (Korea Selatan): Kumpulan K-Pop wanita antarabangsa enam anggota yang mencetus fenomena apabila dianggotai oleh Ling Ling, anak tempatan pertama yang mengetuai kumpulan K-Pop. Single kemunculan semula mereka, TA TA, telah meraih lebih 10 juta tontonan dalam tempoh kurang seminggu.
- UPRIZE (Vietnam): Kumpulan pop lelaki tujuh anggota yang menjuarai program realiti Show It All 2026 dan pernah menduduki tangga teratas carta iTunes Vietnam menerusi album sulung mereka, THĂNG.
- Yusry Abdul Halim (Malaysia): Penyanyi, pengarah dan penerbit tersohor tanah air di bawah naungan Sony Music Malaysia yang membawa pengalaman lebih tiga dekad dalam industri hiburan.
Jelajah Showcase Bermula Hujung 2026
Menyusul pelancaran rasmi ini, LAUNCHPAD bakal diperkenalkan secara berperingkat menerusi siri showcase di pelbagai negara Asia Tenggara bermula penghujung tahun 2026 sehingga awal tahun 2027.
Inisiatif berterusan ini dijangka bakal membuka lebih banyak peluang komersial baharu, membina kelompok peminat merentas sempadan, dan seterusnya memastikan kerjaya yang mampan buat penggiat seni di luar pasaran tempatan mereka.
