Ikuti Kami:

Bank Rakyat Kukuh Kedudukan Dalam Industri Kewangan Islam Melalui Pengambilalihan Takaful IKHLAS

Bank Rakyat Kukuh Kedudukan Dalam Industri Kewangan Islam Melalui Pengambilalihan Takaful IKHLAS

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat mengumumkan cadangan pengambilalihan dua anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB), iaitu Takaful Ikhlas Family Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad (secara kolektif dikenali sebagai Takaful IKHLAS).

Langkah berani ini dimeterai menerusi menandatangani perjanjian pelaksanaan (implementation agreement) bersama MNRB bagi memperkukuh kedudukan Bank Rakyat dalam industri kewangan Islam tempatan.

Pengambilalihan strategik ini bakal melengkapkan perkhidmatan perbankan sedia ada dengan penyelesaian takaful komprehensif, sekali gus merealisasikan aspirasi Bank Rakyat untuk berkembang menjadi sebuah konglomerat kewangan Islam terkemuka di Malaysia.

Perkasakan Ekosistem Kewangan Islam & PMKS

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, cadangan ini merupakan pelaburan strategik bagi memperkukuh penawaran produk patuh Syariah syarikat selain memperkasa ekosistem kewangan Islam negara.

“Sebagai bank koperasi Islam terbesar di negara ini, kami memikul tanggungjawab menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi mampan. Pelaburan ini mengukuhkan strategi pelaksanaan mandat kami ke atas segmen koperasi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

Beliau menambah, pengambilalihan ini membuka ruang strategi baharu bagi meningkatkan perlindungan kewangan isi rumah serta perniagaan, sekali gus mewujudkan nilai jangka panjang bagi ekosistem koperasi dan PMKS.

Bank Rakyat Kukuh Kedudukan Dalam Industri Kewangan Islam Melalui Pengambilalihan Takaful IKHLAS

Capai Golongan ‘Underserved’ & ‘Unserved’

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff menjelaskan bahawa pengambilalihan ini bukan sekadar mewujudkan nilai, malah meningkatkan kecekapan operasi dan kapasiti perkhidmatan kumpulan.

Penyertaan Takaful IKHLAS membolehkan Bank Rakyat merapatkan jurang penawaran produk sedia ada, terutamanya bagi segmen pelanggan yang kurang mendapat perkhidmatan (underserved) dan yang belum mendapat akses kewangan (unserved).

“Kami menjangkakan pengambilalihan ini akan mengukuhkan rangkaian saluran penyampaian, meningkatkan penyampaian perkhidmatan, serta memperluas keupayaan perniagaan Kumpulan demi menyokong penciptaan nilai jangka panjang yang mampan,” jelas Ahmad Shahril.

Kukuh Kedudukan Dua Gergasi Kewangan

Pengambilalihan ini menyatukan dua entiti kewangan Islam yang mempunyai rekod prestasi kukuh di Malaysia:

  • Bank Rakyat: Ditubuhkan pada tahun 1954 dan bertindak sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), Bank Rakyat kini mencatatkan jumlah aset sebanyak RM131 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
  • Takaful IKHLAS: Ditubuhkan pada tahun 2002, syarikat ini merupakan antara pengendali takaful terkemuka yang menawarkan rangkaian takaful keluarga dan am secara menyeluruh kepada individu, perniagaan, serta korporat.

Langkah pengambilalihan ini dijangka membolehkan Bank Rakyat menyokong perjalanan kewangan pelanggan secara menyeluruh  merangkumi pembiayaan, peningkatan, pengurusan, sehinggalah kepada perlindungan kekayaan.

Loading...