Raja Azura Kembali, 10 Selebriti Otai Berentap Misi Amal Di Pentas Kilauan Emas Selebriti 2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 5 Aug 2026 1:45 pm
KUALA LUMPUR – Pentas realiti popular Astro, Kilauan Emas, kini kembali lagi dengan suntikan nafas baharu menerusi edisi khas Kilauan Emas Selebriti 2026 yang menggabungkan elemen hiburan bersama misi kemasyarakatan.
Bermula 22 Ogos ini, program berkenaan bakal menyaksikan 10 barisan pelakon dan personaliti veteran tempatan beradu suara bukan sahaja untuk menjulang gelaran juara, malah mengumpul dana bantuan demi kebajikan rakan-rakan artis veteran yang memerlukan.
Berbeza dengan musim-musim sebelum ini, edisi 2026 menetapkan syarat ketat di mana para peserta mestilah warganegara Malaysia berusia 50 tahun ke atas dan terdiri daripada personaliti terkenal yang bukan penyanyi profesional, tidak pernah mempunyai album muzik serta tidak pernah menerima latihan vokal secara rasmi.
Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh berkata, program ini bergerak atas konsep “Talent That Gives Back” bagi menyuntik impak positif kepada masyarakat dan industri seni tempatan.
“Setiap kemenangan mingguan peserta akan disertakan dengan sumbangan amal kepada rakan-rakan artis veteran yang memerlukan. Ia menjadikan program ini bukan sekadar meraikan bakat terpendam, tetapi turut memberi nilai positif,” katanya.
Tambah beliau, program musim ini turut disemarakkan dengan segmen khas “Telan Kaset” yang menampilkan kemunculan artis-artis legenda tanah air pada setiap minggu bagi menghidupkan nostalgia dan nilai sentimental penonton.

Siapa paling menyerlah? 10 selebriti otai bakal berentap dalam Kilauan Emas Selebriti 2026.
Kehadiran 10 Selebriti Otai Popular
Musim khas ini membariskan 10 personaliti seni merentasi dunia lakonan dan penyiaran:
- Dato’ Ahmad Tamimi Siregar (76 tahun) – Pelakon, pengarah, dan penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat FFM34.
- Dato’ Jalaludin Hassan (72 tahun) – Pelakon veteran dan pengacara ikonik.
- Mubarak Majid (70 tahun) – Pelakon berprestij dengan pengalaman lebih 40 tahun.
- Rahim Omar (66 tahun) – Pelakon yang cukup dikenali menerusi watak-watak pegawai polis.
- Khaty Azian (60 tahun) – Pelakon serbaboleh yang popular menerusi drama Opah.
- Rashdan Baba (57 tahun) – Pelakon ‘hero’ popular era 1990-an.
- Maria Tunku Sabri (56 tahun) – Bekas pembaca berita dan hos ikonik Jalan-Jalan Cari Makan.
- Zila Bakarin (51 tahun) – Pelakon watak antagonis dan juga gelaran “Queen of Threads”.
- Fazlina Ahmad Daud (51 tahun) – Pelakon berpengalaman, anak legenda Dato’ Ahmad Daud dan Datin Saadiah.
- Amyza Aznan (50 tahun) – Pelakon komedi dan drama bersiri popular.

(Kiri-kanan) Keanu Azman dan Raja Azura terajui Kilauan Emas Selebriti 2026 sementara Jihan Muse dan Datuk Yusry Abdul Halim sertai barisan juri.
Pengacaraan & Barisan Juri
Menambahkan lagi kehangatan pentas, pengacara versatil Raja Azura (Kak Engku) mengesahkan kemunculan semulanya sebagai hos utama selepas mengendalikan musim pertama hingga ke musim kelima. Beliau akan berganding bersama pengacara muda, Keanu Azman.
Sementara itu, bangku juri tetap akan digalas oleh Jihan Muse dan Datuk Yusry Abdul Halim (KRU), di samping juri jemputan yang akan dibawakan khas pada setiap minggu. Keputusan persembahan peserta akan ditentukan menerusi 80% markah juri profesional dan 20% undian penonton di rumah secara dalam talian menerusi portal Astro Gempak.
Info Siaran & Program Sampingan
- Konsert Mingguan Live: Setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 22 Ogos 2026 di Astro Prima (Saluran 105), live dari Auditorium MBSA Shah Alam selama 7 minggu. Strim menerusi On Demand, Astro GO, dan Sooka.
- Diari Kilauan Emas Selebriti 2026: Setiap Isnin hingga Jumaat, jam 11.30 malam (bermula 17 Ogos 2026).
- Podcast Kilauan Emas Selebriti: Dihoskan oleh Faliq (SINAR) setiap hari bermula 14 Ogos 2026, jam 7.00 malam.
Program musim ini dibawakan khas oleh penaja utama Arabic Gold, minuman kesejahteraan berasaskan jus delima dan habbatus sauda menerusi tema “Emas Tetap Emas”.
