Malaysia Harumkan Nama di Jepun: Video “VM2026 Surreal Experiences” Rangkul Anugerah Emas dan Perak
- oleh Editor MYBUZZ
- 20 Mar 2026 1:53 pm
SHIGA, JEPUN – Malaysia sekali lagi membuktikan kehebatan dalam arena pemasaran pelancongan antarabangsa apabila Tourism Malaysia Tokyo berjaya merangkul dua anugerah berprestij di Japan International Tourism Video Festival (JWTFF) 2026. Video promosi bertajuk “VM2026 Surreal Experiences” itu diiktiraf atas kualiti penceritaan dan visualnya yang memukau.
Dalam festival yang mengumpulkan lebih 1,334 penyertaan dari seluruh dunia itu, Malaysia berjaya membawa pulang iaitu Anugerah Emas bagi Kategori Pertandingan Asia dan Anugerah Perak bagi Kategori Negara Destinasi Pelancongan.
Video “VM2026 Surreal Experiences” mendapat pujian juri kerana berjaya menonjolkan intipati pengalaman pelancongan yang unik dan mendalam di Malaysia melalui naratif yang menarik serta pelaksanaan kreatif. Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi daya tarikan visual Malaysia dalam mempromosikan kepelbagaian produk pelancongannya kepada pasaran Jepun dan global.
Pengarah Tourism Malaysia Tokyo, Cik Syaliza Abd Aziz, menyifatkan pencapaian ini sebagai cerminan komitmen berterusan Malaysia untuk mempamerkan kekayaan budaya dan kepelbagaian destinasi negara.
“Kami berharap pengiktirafan ini akan terus memberi inspirasi kepada pelancong Jepun untuk menerokai keindahan Malaysia,” ujar beliau.
Pencapaian cemerlang ini hadir ketika pasaran Jepun menunjukkan pertumbuhan positif. Statistik menunjukkan bahawa pada tahun 2025: Malaysia merekodkan sebanyak 416,492 ketibaan pelancong antarabangsa dari Jepun dan jumlah ini mewakili peningkatan sebanyak 13.4 peratus berbanding tahun 2024. Kejayaan ini membuktikan keberkesanan usaha promosi bersasar yang dijalankan di Jepun melalui kempen inovatif dan kandungan digital yang menarik.
Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menekankan pembangunan pelancongan mampan yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs). Selain mempamerkan warisan budaya yang kaya, kempen ini juga bertujuan memacu pertumbuhan inklusif serta nilai jangka panjang buat komuniti tempatan dan pemain industri. Untuk maklumat lanjut mengenai pelancongan negara, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.tourism.gov.my.
