Ikuti Kami:

LBS Perkukuh Penawaran Komersial KITA @ Cybersouth Menerusi Penyewaan Strategik Bersama MYDIN

LBS Perkukuh Penawaran Komersial KITA @ Cybersouth Menerusi Penyewaan Strategik Bersama MYDIN

PETALING JAYA – Pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) terus memperkukuh landskap komersial dan peruncitan di perbandaran utamanya, KITA @ Cybersouth, menerusi pemeteraian perjanjian penyewaan strategik bersama gergasi peruncitan tempatan berstatus halal, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN).

Menerusi kerjasama ini, MYDIN bakal beroperasi sebagai pasar raya pertama di perbandaran berkenaan sekali gus membawa kemudahan barangan keperluan harian lebih dekat dengan penduduk serta komuniti sekitar.

Majlis menandatangani perjanjian rasmi tersebut telah diadakan pada 5 September lalu di Galeri Jualan LBS KITA @ Cybersouth bersempena sambutan KITA Merdeka. Dokumen perjanjian tersebut dimeterai oleh Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Wira Lim Hock Guan bersama Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San dan Pengarah Eksekutif MYDIN, Tuan Ahimmat Mydin.

LBS Perkukuh Penawaran Komersial KITA @ Cybersouth Menerusi Penyewaan Strategik Bersama MYDIN

(Dari kiri ke kanan) Datuk Wira Lim Hock Guan, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif LBS; Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS; Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN; dan Tuan Ahimmat Mydin, Pengarah Eksekutif MYDIN, di majlis pemeteraian Perjanjian Penyewaan antara LBS dan MYDIN di KITA @ Cybersouth, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan komersial bandar tersebut.

 

Sokong Keperluan Penduduk & Pembangunan Komuniti

Mengulas mengenai pencapaian strategik itu, Tan Sri Lim Hock San menegaskan bahawa seiring dengan kemajuan KITA @ Cybersouth, penyediaan kemudahan dan perkhidmatan sokongan amat penting untuk berkembang selari dengan keperluan semasa penduduk.

“Kehadiran MYDIN sebagai pasar raya pertama di perbandaran ini merupakan satu lagi langkah ke arah mewujudkan sebuah komuniti yang lebih lengkap. MYDIN merupakan jenama tempatan yang amat dipercayai serta mempunyai pemahaman yang kukuh terhadap keperluan pengguna di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Datuk Wira Ameer Ali Mydin menyatakan bahawa keputusan pembukaan cawangan baharu itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi besar kawasan Cybersouth yang berkembang pesat dan semakin menjadi tumpuan golongan keluarga muda.

“Kami mahu MYDIN menjadi lebih daripada sekadar destinasi membeli-belah, malah menjadi sebahagian daripada komuniti ini selaras dengan perkembangannya dengan menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, di samping menawarkan pengalaman membeli-belah yang mudah dan selesa,” jelas beliau.

(Dari kiri ke kanan) Datuk Wira Lim Hock Guan, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif LBS; Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS; Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN; dan Tuan Ahimmat Mydin, Pengarah Eksekutif MYDIN, di majlis pemeteraian Perjanjian Penyewaan antara LBS dan MYDIN di KITA @ Cybersouth, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan komersial bandar tersebut.

LBS Bina Group Berhad dan MYDIN Mohamed Holdings Berhad memeterai Perjanjian Penyewaan di KITA @ Cybersouth, sekali gus membuka laluan bagi penubuhan pasar raya besar pertama di bandar tersebut serta memperkukuh tawaran komersial dan gaya hidup untuk para penduduk dan komuniti sekitar.

 

Gergasi Peruncitan 24,000 Kaki Persegi

Menerusi Perjanjian Penyewaan berkenaan, MYDIN bakal mendiami kawasan tanah seluas 1.37 ekar dengan saiz binaan 24,000 kaki persegi. Kehadiran pasar raya ini direka khas untuk melengkapi pembangunan komersial KITA Avenue Square yang kini sedang dalam pembinaan dan ditawarkan pada harga bermula RM1,399,000.

Dibangunkan di atas Tanah Rizab Melayu seluas kira-kira 633 ekar, KITA @ Cybersouth dirancang teratur sebagai perbandaran bersepadu yang menghimpunkan komponen kediaman, penawaran komersial, jaringan perhubungan serta kemudahan awam.

Apabila siap sepenuhnya kelak, perbandaran ini dijangka menampung kapasiti populasi seramai kira-kira 67,000 orang penduduk. Berdasarkan data demografi semasa, majoriti pembeli hartanah di kawasan berkenaan terdiri daripada golongan muda, di mana 63 peratus daripadanya berusia 40 tahun ke bawah.

Secara keseluruhan, projek perbandaran ini merangkumi perancangan pembinaan kira-kira 16,000 unit kediaman. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 40 peratus telah siap dibangunkan, lima peratus kini dalam proses pembinaan, manakala baki 55 peratus lagi masih di peringkat perancangan.

Kerjasama strategik antara LBS dan MYDIN ini memperkukuh komitmen pemaju hartanah berkenaan menerusi aspirasi ‘Bersama Membina Masa Depan’ bagi mewujudkan perbandaran yang harmoni, dinamik serta mempunyai jaringan perhubungan yang kukuh.

Loading...