Magis 3 Dasawarsa Ungu; Hampir 4,000 Peminat Larut Dalam Nostalgia Di Kuala Lumpur
- oleh Editor MYBUZZ
- 7 Sep 2026 5:22 pm
KUALA LUMPUR — Kumpulan legenda rock pop terkenal dari Indonesia, Ungu, membuktikan pengaruh dan keunggulan mereka kekal utuh selepas tiga dekad bertapak dalam industri muzik apabila berjaya memukau hampir 4,000 peminat dalam konsert gemilang “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” di Idea Live Arena, malam sabtu lepas.
Penganjuran konsert istimewa gabungan COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment ini bukan sekadar sebuah persembahan pentas biasa, sebaliknya menjadi medan perhimpunan emosi, nostalgia dan kenangan manis yang merentasi generasi buat para peminat tempatan.
Suasana dewan konsert bertukar bingit dengan sorakan penonton seawal tirai dibuka apabila Ungu memberi kejutan luar biasa dengan mendendangkan lagu ikonik tanah air, “Cindai”, yang dipopularkan oleh Biduanita Negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza.
Tindakan penuh penghormatan itu nyata menyemarakkan lagi semangat ribuan peminat sebelum kumpulan tersebut meneruskan momentum tenaga menerusi deretan lagu rancak dan popular mereka termasuk “Cinta Gila”, “I Need You”, “Ciuman Pertama”, “Hampa Hatiku”, serta “Percaya Padaku”.
Persembahan kemudian bertukar ke fasa yang lebih syahdu dan emosional apabila vokalisnya, Pasha, membawakan lagu-lagu berhantu seperti “Sejauh Mungkin”, “Seperti Yang Dulu”, “Cinta Dalam Hati”, “Gerimis Mengundang”, “Andai Ku Tahu”, dan “Bila Tiba”. Setiap bait lirik yang didendangkan disambut nyanyian bersama penonton yang larut dalam kenangan masing-masing.
Antara detik paling mencuri tumpuan pada malam tersebut adalah kemunculan penyanyi popular tanah air, Marsha Milan, yang diundang khas bagi berkongsi pentas bersama Ungu.
Gandingan harmoni Marsha dan Pasha menerusi dua karya popular, “Bismillah Cinta” dan “Tercipta Untukku”, menyerlahkan kekuasaan vokal serta chemistry yang cukup memukau, sekali gus menerima tepukan gemuruh daripada segenap sudut arena.
“Saya sangat teruja dan terharu kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada malam yang begitu bermakna buat Ungu dan peminat mereka. Lagu-lagu Ungu sudah begitu dekat dengan hati ramai orang, jadi dapat menyanyikannya bersama mereka di hadapan ribuan peminat adalah satu kenangan yang tidak akan saya lupakan,” kata Marsha ketika ditemui.
Persembahan diteruskan lagi dengan seleksi lagu popular seperti “Utara – Selatan”, “Aku Tahu”, dan “Kekasih Gelapku”. Walau bagaimanapun, kemuncak emosi malam berkenaan tercetus apabila intro lagu mega-hits “Demi Waktu” mula berkumandang.

Hampir keseluruhan ruang Idea Live Arena bergetar apabila ribuan penonton berdiri dan menyanyikan setiap baris lirik lagu berkenaan secara serentak, mencipta momen paling magis sepanjang konsert.

Vokalis Ungu, Pasha, meluahkan rasa terharu dan bersyukur atas sokongan padu yang diberikan oleh peminat di Malaysia sepanjang 30 tahun perjalanan seni mereka.
“Tiga puluh tahun adalah perjalanan yang sangat panjang. Ada banyak cerita, cabaran dan kenangan yang kami lalui. Tetapi apabila kami melihat peminat di Kuala Lumpur masih menyanyikan lagu-lagu kami bersama-sama, kami rasa sangat bersyukur. Mereka adalah sebahagian daripada perjalanan Ungu,” ujar Pasha.
Konsert melabuhkan tirainya menerusi lagu penutup penuh bertenaga, “Seperti Mati Lampu”, yang meninggalkan impak kegembiraan mendalam buat semua yang hadir.
Pengarah Konsert dari COMs. Creative Studio, En. Zairul Addry Helmy, meluahkan rasa syukur atas sambutan padu yang diterima daripada peminat tempatan.
“Kami sangat bersyukur hampir 4,000 peminat hadir untuk meraikan tiga dekad Ungu bersama-sama. Melihat peminat menyanyi, tersenyum dan menghayati setiap lagu bersama Ungu malam ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kehadiran Marsha Milan memberikan dimensi dan warna istimewa yang memperlihatkan bagaimana muzik mampu menyatukan artis dan peminat merentasi generasi.

Penganjuran “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” secara tidak langsung membuktikan bahawa angka 30 tahun bukan sekadar tempoh garis masa, tetapi sebuah penanda aras teguh kekuasaan muzik Ungu yang sentiasa segar dan mekar di hati para peminat.
