Kerajaan Perkenal Modul Keharmonian Merentas Agama Perkukuh Perpaduan Nasional
- oleh Editor MYBUZZ
- 9 Apr 2026 12:46 pm
PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama menerusi pengenalan Modul Pendayaupayaan Keharmonian Merentas Agama dan Budaya.
Inisiatif yang diterajui melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkasa nilai insaniah, adab serta budi pekerti dalam kalangan rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian latar belakang.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, modul berkenaan dibangunkan secara komprehensif bagi menjadi rujukan utama bukan sahaja kepada pegawai agensi kerajaan, malah turut boleh dimanfaatkan oleh sektor swasta serta masyarakat umum.
“Modul ini dirangka dengan pendekatan dinamik dan berimpak tinggi, menggunakan kaedah komunikasi yang inklusif serta sensitif budaya. Ia juga menekankan latihan praktikal berasaskan situasi sebenar bagi memastikan kefahaman yang lebih mendalam serta aplikasi yang berkesan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian agama, kaum dan etnik perlu melihat keunikan tersebut sebagai kekuatan utama negara, bukannya cabaran. Kepelbagaian itu menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara.
Sehubungan itu, prinsip “Faham, Hormat, Terima dan Meraikan” disarankan sebagai panduan dalam kehidupan seharian rakyat bagi membina integrasi nasional yang lebih kukuh.
Dalam masa sama, kerajaan turut menekankan bahawa setiap individu memainkan peranan sebagai agen perpaduan dalam membentuk masyarakat yang saling memahami, menghormati serta mempercayai antara satu sama lain.
Pengenalan modul ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keharmonian sosial sebagai tunjang utama pembangunan negara, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan.
