‘Jangan Sampai Jadi Tuan!’ Shamyl Othman Kembali Hantui Pawagam Menerusi Seram Psikologi ‘Khadam’
- oleh Editor MYBUZZ
- 9 Apr 2026 2:17 pm
KUALA LUMPUR – Sesuatu yang gelap dan meremangkan bulu roma bakal menghantui pawagam tempatan tidak lama lagi! Red Communications dan Komet Productions hari ini secara rasmi telah melancarkan teaser pertama untuk filem seram psikologi terbaharu mereka yang berjudul ‘Khadam’.
Naskhah yang sangat dinanti-nantikan ini menandakan kepulangan sutradara berbakat, Shamyl Othman, yang menjanjikan sebuah garapan penceritaan yang kuat, lakonan beremosi, serta visual sinematik yang memukau.
Menerusi sedutan teaser berdurasi 60 saat yang dikongsikan kepada umum, penonton diberikan gambaran awal tentang sebuah kehidupan keluarga yang pada mulanya kelihatan harmoni. Namun, kebahagiaan itu perlahan-lahan hancur apabila wujudnya kemunculan entiti ghaib yang mula mengawal keadaan.
Mengangkat tema ‘saka’ yang cukup dekat dengan masyarakat Nusantara, Khadam bersandarkan kepada tagline yang amat mendalam: “Jangan Sampai Jadi Tuan”. Ia bertindak sebagai satu peringatan bahawa sesuatu yang pada awalnya disangka sebagai pelindung atau pembantu, akhirnya boleh memakan diri dan berubah menjadi kuasa yang mengawal.
Dalam konteks kepercayaan tempatan, ‘khadam’ merujuk kepada entiti penjaga ghaib yang sering diwarisi secara turun-temurun.Menurut Shamyl Othman, filem ini sama sekali tidak berniat untuk mengagungkan amalan membela saka, sebaliknya ingin memaparkan akibat dan tanggungjawab berat yang datang bersamanya.
“Dalam Khadam, saka digambarkan sebagai sesuatu yang perlahan-lahan menguasai dari dalam. Sampai satu tahap, individu tersebut tidak lagi dapat membezakan siapa diri mereka dan apa yang sedang mengawal mereka,” jelas pengarah itu.
Beliau turut memuji naskhah skrip tulisan Fariza Azlina Isahak yang disifatkan sangat berani dan dipacu oleh emosi yang kuat.

Bukan calang-calang pelakon yang dipilih untuk menjayakan naskhah berat ini. ‘Khadam’ melakar sejarah peribadi buat aktres prolifik Indonesia, Aghniny Haque, apabila ia merupakan filem produksi Malaysia pertama lakonannya.
Aghniny menggalas watak utama sebagai Melor, seorang wanita yang kelihatan tenang di luaran namun rupa-rupanya menyimpan sebuah rahsia hitam yang sukar dirungkai.Lebih mengujakan penonton tempatan, filem ini mempertaruhkan gandingan Aghniny bersama aktor pujaan ramai, Datuk Remy Ishak yang memegang watak Awang.
Turut memperkuatkan lagi jalan cerita ialah lakonan mantap Siti Khadijah Halim (sebagai Manis, adik Melor), Zarra Zhaf (Puteh, anak Melor), Karl El (Hitam, anak Melor), serta penampilan istimewa Jun Lojong sebagai Nek Mak.

Penerbit Eksekutif Khadam, Datuk Ahmad Izham Omar, menjelaskan bahawa kekuatan sebenar filem ini terletak pada keseimbangan penceritaan, mutu lakonan, dan kualiti visualnya.
“Apa yang dipaparkan di dalam teaser hanyalah gambaran awal kekuatan visual filem ini. Dari komposisi hinggalah kepada pencahayaan dan suasana, setiap elemen direka dengan teliti untuk menyokong perjalanan emosi penonton,” kongsi beliau.
Filem Khadam yang diedarkan oleh GSC Movies dengan kerjasama Primeworks Studios ini dijadualkan menggegarkan pawagam di seluruh negara pada tahun ini. Sementara menanti trailer rasmi dilancarkan, pastikan anda bersedia untuk menyelami dunia ‘Khadam’ yang pasti tidak akan membiarkan anda tidur lena!
