3 Tahun Tersimpan Rapi! Azmi Saat Kini Berdiri Solo, Pertaruh Karya Magis Naqiu Berjudul “SATU”
- oleh Editor MYBUZZ
- 8 Apr 2026 2:42 pm
KUALA LUMPUR – Sedekad membina nama dan mengukuhkan empayar bersama kumpulan Caliph Buskers, vokalis berbakat besar, Azmi Saat kini dilihat semakin bersedia untuk melangkah setapak lagi dalam perjalanan seninya. Beliau kini tampil dengan penuh semangat memperkukuhkan identiti sebagai penyanyi solo menerusi pelancaran single terbaharu yang diberi judul SATU.
Karya bergenre balada kerohanian ini disifatkan bukan sekadar sebuah eksperimen, sebaliknya ia adalah satu deklarasi berani yang menonjolkan kematangan vokal serta versatiliti anak kelahiran Mersing, Johor itu dalam memacu karier solonya.

Menariknya, lagu yang dijadualkan menemui peminat pada bulan Februari ini merupakan hasil sentuhan magis vokalis dan komposer terkenal, Naqiu, manakala bait-bait lirik puitisnya pula digarap indah oleh Wit Mohsen.
Menurut penyanyi berusia 38 tahun ini, beliau mula jatuh cinta dengan melodi SATU sejak pertama kali mendengarnya tiga tahun lalu.
“Naqiu sebenarnya dah berikan lagu ini kepada saya sejak tiga tahun lepas. Kami sebelum ini pernah bekerjasama sebagai rakan duet di pentas Gegar Vaganza. Tiba-tiba Naqiu merisik saya dengan melodi yang membuatkan saya terus jatuh cinta saat pertama kali mendengarnya,” kongsi Azmi.

Tambahnya lagi, jiwa dan lirik lagu tersebut sangat dekat dengan dirinya yang sememangnya menggemari lagu-lagu bertemakan ketuhanan. Ia menyelami maksud cinta yang cukup mendalam antara seorang hamba dengan Penciptanya. Tanpa berfikir panjang, beliau terus bersetuju menerima lamaran Naqiu untuk merakamkan naskhah tersebut.
Walaupun proses rakaman terpaksa ditangguhkan beberapa kali berikutan jadual kerja Naqiu yang padat, Azmi percaya bahawa setiap kelewatan itu pasti ada hikmahnya.
“Meskipun dah ‘disimpan’ agak lama, SATU akhirnya direalisasikan pada detik yang paling sempurna. Lebih istimewa, lagu ini telah terpilih sebagai lagu tema utama (Original Soundtrack) bagi drama rantaian 60 episod “Mencari Isteri Sempurna” yang telah bersiaran di saluran Astro Prima sepanjang bulan Ramadan lalu hingga kini,” jelasnya lagi dengan penuh rasa syukur.
Diterbitkan oleh syarikat rakaman Sony Music Malaysia, naskhah SATU telah pun mula berada dan boleh didengari di kesemua platform penstriman digital utama bermula 30 Januari 2026 yang lalu. Adakah lagu magis sentuhan Naqiu ini mampu melonjakkan lagi nama Azmi Saat sebagai penyanyi solo lelaki terhebat negara? Sama-sama kita nantikan!
