KUALA LUMPUR – Selepas mencetuskan fenomena dan dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza Musim ke-12 (GV12) , bintang kelahiran Singapura, Iskandar Ismail, kini mengorak langkah agresif untuk menawan pasaran muzik Malaysia. Bukti kesungguhan beliau diterjemahkan menerusi pelancaran sebuah power ballad epik berjudul ‘Mahal’. Lebih mengujakan, naskhah ini menggandingkan vokal berkarisma Iskandar bersama kelunakan nota tinggi penyanyi wanita ‘powerhouse’ negara, Idayu.
Membawa legasi bapanya yang juga legenda era 60-an, R. Ismail, serta berbekalkan pengalaman lebih dua dekad mengukir nama di Singapura , Iskandar menegaskan bahawa kehadirannya di sini bukanlah sekadar untuk mencuba nasib. Beliau menyifatkan karya Mahal ini sebagai senjata utama dan penanda aras bagi perjalanan kariernya di Malaysia.
Bagi memastikan paduan suara yang seimbang, Iskandar sanggup menjalani sesi rakaman intensif di bawah bimbingan Penata Vokal, Afif Tirmizie agar keupayaan vokalnya setanding dengan kehebatan Idayu.

Karya terbitan Sony Music Malaysia ini merupakan sentuhan komposer berprofil tinggi, Farouk Roman , manakala liriknya pula digarap indah oleh Adrianna Cinta. Menurut Farouk, ‘Mahal’ menuntut interpretasi dan teknik vokal bertaraf tinggi. Ia sarat dengan makna yang mengangkat mesej bahawa nilai sebenar kehidupan seperti perasaan, kejujuran, dan pengorbanan adalah jauh lebih berharga daripada kekayaan material.
Pemilihan Idayu sebagai rakan duet nyata memberikan impak yang luar biasa. Idayu mengakui terus jatuh cinta dengan ‘roh’ lagu tersebut sejak pertama kali mendengar demonya. Proses rakaman berjalan dengan sangat lancar kerana kedua-dua penyanyi berjaya menyelami kedalaman emosi yang dimahukan oleh komposer, ditambah pula dengan kematangan vokal Iskandar yang mengagumkan.
Kualiti premium yang ada pada lagu Mahal ini turut melayakkannya dipilih sebagai runut bunyi (OST) utama bagi drama rantaian mega 60 episod terbitan Astro, ‘Mencari Isteri Sempurna’. Drama rantaian ini telah mula bersiaran sepanjang bulan Ramadan yang lalu sehingga kini.
Buat peminat yang ingin menghayati paduan vokal luar biasa ini, lagu Mahal telah pun mula mendominasi carta muzik dan boleh didengari di semua platform digital sejak 30 Januari 2026.
