Ikuti Kami:

Kerajaan Kekal Harga Bahan Api Bersubsidi Di Sebalik Lonjakan Pasaran Minyak Global

Kerajaan Kekal Harga Bahan Api Bersubsidi Di Sebalik Lonjakan Pasaran Minyak Global

PUTRAJAYA — Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan komitmennya untuk terus mengekalkan harga bahan api bersubsidi bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak mentah global susulan ketidaktentuan pasaran antarabangsa.

Menurut siaran media MOF, harga minyak mentah dunia telah meningkat secara mendadak sepanjang lima minggu kebelakangan ini akibat krisis tenaga di Asia Barat yang mendorong peningkatan kos petroleum, logistik dan insurans. Walaupun pengumuman gencatan senjata baru-baru ini menyebabkan sedikit penurunan harga minyak mentah, kementerian menjelaskan bahawa kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada perubahan harga runcit di Malaysia.

Harga bahan api domestik ditentukan berdasarkan purata harga mingguan, bukan harga harian semasa. Kesannya, harga pam untuk minggu 9 hingga 15 April 2026 masih mencerminkan tekanan kos bekalan tinggi ketika pasaran global berada pada paras sekitar AS$150 setong bagi petrol dan AS$250 setong bagi diesel.

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga tanpa subsidi yang diumumkan adalah seperti berikut: RON97 RM5.35 seliter, RON95 RM4.27 seliter, dan diesel RM6.72 seliter di Semenanjung Malaysia.

Namun begitu, kerajaan mengekalkan harga bersubsidi bagi golongan dan sektor tertentu, termasuk RON95 di bawah program BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter, serta diesel bersubsidi RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan. Melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), harga dikekalkan masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Mulai 1 April 2026, kerajaan turut menyelaras had kelayakan BUDI95 kepada 200 liter sebulan sebagai langkah sementara bagi mengekang ketidaktentuan global.

Selain itu, had pengisian diesel turut diperkenalkan di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan bagi mengekang ketirisan serta penyeludupan bahan api. Kenderaan ringan persendirian dan pengangkutan darat awam dihadkan kepada 50 liter setiap pembelian, manakala kenderaan tidak melebihi 3 tan dibenarkan 100 liter, dan yang melebihi 3 tan dibenarkan 150 liter setiap kali pengisian.

Bagi membantu penerima yang terkesan dengan kenaikan harga diesel, kerajaan turut mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 bagi bulan April, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan RM300 untuk penerima kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

MOF menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memantau pasaran tenaga global dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil dan mencukupi. Pendekatan ini, menurut kementerian, mencerminkan usaha kerajaan menyeimbangkan keperluan fiskal negara dengan perlindungan terhadap kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan MADANI akan terus berhemah dan teliti dalam memastikan kelangsungan ekonomi serta kesejahteraan hidup rakyat terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan itu.

Loading...