iQIYI Lebar Sayap, Umum 5 Drama Melayu Original Bakal Gegar 2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 8 Apr 2026 10:22 am
KUALA LUMPUR – Sedar akan selera tontonan masyarakat tempatan yang semakin dahagakan naskhah berkualiti, platform penstriman popular Asia, iQIYI International, terus memperkukuhkan kedudukan mereka di Malaysia dengan melancarkan senarai panjang produksi drama Melayu asli (Malaysian Originals) yang cukup menggiurkan untuk tahun 2026.
Pengumuman besar itu telah dibuat bersempena dengan majlis rumah terbuka meriah yang dinamakan “Celebr-Eid with Team Raya iQIYI 2026” pada 7 April lalu, yang turut dihadiri oleh tetamu kehormat, Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, YB Teo Nie Ching.
Langkah agresif iQIYI ini membuktikan komitmen jangka panjang mereka untuk bukan sahaja bergelar sebuah platform penstriman, tetapi juga bertindak sebagai pelabur aktif di dalam ekosistem kreatif tempatan. Sejak memperkenalkan drama Melayu pada tahun 2020, iQIYI telah beralih daripada sekadar membeli hak siaran kandungan kepada melabur secara langsung ke dalam produksi asli.
Tahun 2026 dan seterusnya sehingga 2027 bakal menyaksikan kemunculan lima naskhah Malaysian Originals daripada iQIYI yang merangkumi pelbagai genre, sekali gus menampilkan barisan pelakon ternama industri hiburan tanah air. Setiap judul hadir dengan kekuatan naratif tersendiri yang dijangka memperkayakan landskap drama tempatan.
Antara judul terawal ialah Griya, yang dijadualkan tayangan pada Mei 2026. Naskhah bergenre romance thriller ini mempertaruhkan lakonan mantap Scha Alyahya, Nazim Othman, Chacha Maembong dan Dynas Mokhtar, dengan kisah yang penuh misteri serta konflik emosi.
Seterusnya, Madu Atau Racun bakal menemui penonton pada Julai 2026, mengangkat pergolakan emosi dan konflik rumah tangga sebagai teras penceritaan. Drama ini menggandingkan Uqasha Senrose bersama Aliff Aziz dan Elisya Sandha dalam sebuah kisah yang menyentuh dilema cinta, pengkhianatan dan pengorbanan.
Untuk September 2026, iQIYI mempersembahkan Sekali Lagi, Bahagia, sebuah drama kekeluargaan dan percintaan yang menampilkan lakonan Fasha Sandha, MK K-Clique dan Izzue Islam. Naskhah ini dijangka menyentuh emosi penonton dengan kisah hubungan, peluang kedua dan makna kebahagiaan sebenar.
Momentum diteruskan dengan Dua Nyawa pada November 2026, yang dibintangi pelakon muda berbakat besar seperti Puteri Balqis, Amir Ahnaf dan Jazmy Juma. Drama ini dijangka memberi nafas segar dengan penceritaan yang lebih kontemporari serta fokus kepada konflik dalaman dan pilihan hidup.
Melengkapkan senarai Malaysian Originals ini ialah Ceraikan Aku Sekali Lagi, yang dijangka ditayangkan pada 2027. Diterajui oleh Emma Maembong, Hisham Hamid dan Siti Khadijah, drama ini memaparkan konflik perkahwinan yang kompleks serta pergolakan emosi pasangan suami isteri dalam mencari titik akhir atau permulaan baharu dalam sebuah hubungan.
Selain produksi asli, iQIYI turut mengekalkan kerjasama rapat dengan rakan penyiaran utama, seperti Media Prima, dalam usaha membawa judul-judul tempatan popular ke platform mereka. Sebagai rekod, drama tempatan seperti Safira telah berjaya melakar kejayaan luar biasa dengan menjana 610 juta pendedahan digital pada tahun lalu.

Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam
Majlis yang dianjurkan itu juga adalah bagi meraikan sambutan dan peningkatan luar biasa tontonan drama rantaian Cina (C-Drama) di kalangan rakyat Malaysia. Malah, genre ini telah muncul sebagai antara genre yang paling pesat berkembang di negara kita.
Statistik menunjukkan bahawa carian topik berkaitan “drama TV Cina” di Malaysia telah mencatatkan peningkatan sehingga 80 peratus menurut data Google Search Trends. Antara judul paling popular semestinya naskhah Moonlight Mystique yang melakar rekod sebanyak 5.7 juta tontonan di platform berkenaan.
Menurut Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, pelaburan terhadap kandungan tempatan ini akan dijalankan seiring dengan usaha berterusan mereka dalam membawakan hiburan Asia terbaik. Ini bermakna, penonton Malaysia pasti tidak akan bosan kerana disajikan dengan seleksi kandungan premium merangkumi cerita-cerita tempatan hinggalah ke C-Drama berkelas dunia!


