Ikuti Kami:

MXI Terus Bereksperimen, Kolaborasi Sam Bunkface Dalam Single “Di Sebalik”

MXI Terus Bereksperimen, Kolaborasi Sam Bunkface Dalam Single “Di Sebalik”

KUALA LUMPUR – Kumpulan pop rock tempatan, MXI nampaknya tidak mahu duduk diam! Selepas melancarkan album sulung mereka sebelum ini, MXI kini terus mengorak langkah berani dengan mempertaruhkan konsep unik menerusi penghasilan Featuring Album atau album kolaborasi penuh bagi buah tangan kedua mereka.

Sebagai pemanas badan untuk projek mega ini, MXI baru sahaja melancarkan single kedua berjudul Di Sebalik, dengan menampilkan vokalis dan komposer tersohor, Sam Bunkface sebagai rakan kolaborasi.

Istimewanya naskhah Di Sebalik ini, ia mendapat sentuhan magis Sam Bunkface selaku pencipta lagu sepenuhnya, manakala susunan muzik pula digarap padu oleh anggota MXI sendiri.

MXI Terus Bereksperimen, Kolaborasi Sam Bunkface Dalam Single “Di Sebalik”

 

Membawa nuansa yang sedikit berbeza, lagu ini menyuntik elemen Progresif Rock yang lebih ‘berat’ dan mendalam. Ia sejajar dengan mesej ketuhanan yang cuba disampaikan, menceritakan tentang rintihan dan pencarian seorang hamba yang mahu mengenali serta mendekatkan diri kepada Penciptanya.

Bagi yang belum mengenali MXI, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2022 ini membawa maksud Mission Not Impossible – membuktikan tiada apa yang mustahil jika disusuli dengan usaha gigih. Dianggotai oleh gabungan pemuzik lama dan baharu iaitu Ocin (Vokalis), Epul Kuat (Gitar Utama), dan Faiz Haled (Gitar Kedua), mereka sentiasa mencari kelainan.

Idea untuk menghasilkan Featuring Album ini tercetus apabila MXI menyedari masih belum ada pihak yang benar-benar mengangkat konsep sedemikian, di mana setiap lagu di dalam satu album menampilkan artis jemputan yang berbeza.

Terdahulu pada tahun 2024, MXI telah pun melancarkan single pertama untuk projek ini berjudul Aku Sedang Sedih, menampilkan Adi Priyo.

Menerusi kolaborasi mantap bersama Sam Bunkface ini, MXI menaruh harapan besar agar mesej dan rentak Di Sebalik bukan sahaja diterima baik oleh peminat muzik tempatan, malah mampu menembusi pasaran negara jiran seperti Indonesia, Singapura, dan Brunei.

Siapakah artis popular seterusnya yang bakal bekerjasama dengan MXI untuk single akan datang? Sama-sama kita nantikan kejutan dari mereka! Buat masa ini, jom layan dan hayati mesej mendalam menerusi Di Sebalik. Lagu ini dijangka bakal memberikan satu pengalaman audio yang cukup segar buat penggemar muzik rock tempatan.

Loading...