Ikuti Kami:

MoF Sangkal Dakwaan Tambahan Had Subsidi BUDI95; Had 200 Liter Kekal

MoF Sangkal Dakwaan Tambahan Had Subsidi BUDI95; Had 200 Liter Kekal

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MoF) hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menyangkal dakwaan yang tular mengenai permohonan umum untuk tambahan had subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95), menyifatkannya sebagai tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Menurut kementerian tersebut, fungsi permohonan tambahan yang wujud pada awal pelaksanaan program itu bukanlah bertujuan untuk kegunaan peribadi secara umum.

Sebaliknya, ia disediakan khusus bagi kes tertentu dengan keperluan operasi yang jelas dan disahkan, seperti yang melibatkan pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada kriteria ketat yang telah ditetapkan.

Butang Permohonan Dinyahfungsikan Kekeliruan timbul apabila fungsi tersebut disalah tafsir sebagai ruang bagi orang awam untuk memohon peningkatan had kelayakan secara bebas.

Ekoran daripada salah faham tersebut, MoF telah mengambil tindakan untuk menyahfungsikan butang permohonan tambahan tersebut di portal BUDI95.

Pihak kerajaan menegaskan bahawa had kelayakan BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan kekal berkuat kuasa.

Langkah ini dianggap perlu bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar serta mengekalkan kestabilan bekalan bahan api negara.

Keputusan ini juga diambil sebagai tindak balas terhadap tekanan pasaran tenaga global yang berterusan, yang secara langsung telah meningkatkan kos subsidi kerajaan.

Mencukupi Bagi 90% Pengguna Berdasarkan data yang dikumpul, had 200 liter tersebut didapati mencukupi bagi 90% pengguna BUDI95. Dengan harga bersubsidi yang ditetapkan pada RM1.99 seliter, setiap penerima boleh melakukan pembelian RON95 sehingga RM398 sebulan.

Dalam pada itu, Kerajaan menanggung beban subsidi sekitar RM500 bagi setiap penerima setiap bulan.
MoF turut menyatakan komitmen berterusan untuk melindungi rakyat dan memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung sebarang ketirisan subsidi.

Kerajaan akan terus memantau rapi pergerakan pasaran tenaga global dan bersedia untuk membuat sebarang penyesuaian yang wajar pada masa hadapan demi pengurusan ekonomi yang lebih berhemah.

Loading...