Ikuti Kami:

Skuad Pelayaran Negeri Sembilan Cipta Kejutan, Juara Keseluruhan Optimist T‑Sail Cup 2026

Skuad Pelayaran Negeri Sembilan Cipta Kejutan, Juara Keseluruhan Optimist T‑Sail Cup 2026

KUALA NERUS – Skuad pelayaran Negeri Sembilan berjaya melakar satu kejutan besar apabila muncul sebagai juara keseluruhan bagi kategori Optimist pada kejohanan Terengganu Sail Cup (T-Sail Cup 2026) kelmarin.

Kejayaan sensasi yang dilakar di Pusat Pelayaran Negeri Terengganu, Tok Jembal itu dipacu oleh kelincahan pelayar muda berusia 15 tahun, Putra Hasief Haikal Erwanzee, yang cemerlang merangkul gelaran juara keseluruhan.

Selain itu, kontinjen Negeri Sembilan turut berjaya menaiki podium di tempat kedua bagi acara Optimist Berpasukan, mengekori rapat pasukan tuan rumah yang muncul juara, manakala Pahang di kedudukan ketiga.

Skuad Pelayaran Negeri Sembilan Cipta Kejutan, Juara Keseluruhan Optimist T‑Sail Cup 2026

Pasukan pelayaran Negeri Sembilan yang diketuai oleh ketua jurulatih Hamdan Mohd Rozi(bertopi biru) sewaktu hadir berentap selama 4 hari perlumbaan T-Sail Cup 2026 yang telah berlangsung di Pusat Pelayaran Negeri Terengganu yang terletak di pesisir pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu.

 

Ketua jurulatih pelayaran Negeri Sembilan, Hamdan Mohd Rozi menyifatkan pencapaian ini sebagai satu perkembangan yang sangat positif, terutamanya buat pasukan yang baru sahaja kembali memberikan tumpuan penuh terhadap program pembangunan sukan pelayaran negeri tersebut.

“Satu perjalanan yang panjang buat kami untuk hadir ke sini selaku pasukan bukan pilihan, dan kembali dengan podium merupakan satu penanda aras baru tercipta untuk Negeri Sembilan setelah sekian lama dipandang selaku pasukan bukan pilihan di mana-mana kejohanan,” ujar beliau.

Walaupun terlepas kedudukan podium bagi kategori-kategori lain, Hamdan menegaskan bahawa kejuaraan dalam kategori Optimist ini sudah cukup untuk meletakkan satu penanda aras yang kukuh buat pasukan yang kini sedang dalam fasa persediaan rapi menuju ke pentas Sukan Malaysia (SUKMA).

T-Sail Cup 2026 mempertaruhkan 7 kategori utama bagi 4 hari perlumbaan yang berjaya berlangsung di Pusat Pelayaran Negeri Terengganu yang terletak di pesisir pantai Tok Jembal, Kuala Nerus,  Terengganu.

Aksi pelayar Negeri Sembilan, Putra Hasief Haikal Erwanzee(layar bernombor 616) berentap pada hari terakhir perlumbaan kategori Optimist T-Sail Cup 2026 yang telah berlangsung di Pusat Pelayaran Negeri Terengganu yang terletak di pesisir pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu.

 

“Sasaran sebenar kami sudah tentu di SUKMA Selangor 2026 ini nanti,” tegas Hamdan yang mula memikul tanggungjawab mengendalikan pasukan pelayaran negeri itu sejak tahun lalu. Beliau turut menjelaskan bahawa pasukan pelayaran Negeri Sembilan terlepas peluang untuk menyertai SUKMA Sarawak 2024 atas sebab-sebab tertentu.

Oleh yang demikian, pentas SUKMA Selangor akan dijadikan medan terbaik untuk mereka memanfaatkan segala kepercayaan yang diberikan dan membuktikan kemampuan sebenar skuad pelayaran negeri.

Bagi edisi T-Sail Cup kali ini, skuad Negeri Sembilan mempertaruhkan seramai sembilan atlet yang berentap dalam tiga acara. Kejohanan yang membadai ombak Laut China Selatan selama empat hari itu mempertandingkan tujuh kategori utama dan berjaya menghimpunkan seramai 136 pelayar secara keseluruhan, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Loading...