Ikuti Kami:

Eddie Hamid Satukan Tantari & Putera Bobo Dalam ‘Tangisan 1 Syawal’

Eddie Hamid Satukan Tantari & Putera Bobo Dalam ‘Tangisan 1 Syawal’

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Aidillfitri tahun ini, komposer tersohor Eddie Hamid mengambil inisiatif menggandingkan dua penyanyi cilik berbakat besar, Tantari dan Putera Bobo, menerusi sebuah karya pilu berjudul “Tangisan 1 Syawal”.

Pertemuan dua bintang muda ini diinspirasikan daripada kejayaan luar biasa karya solo mereka sebelum ini, yang juga merupakan ciptaan Eddie sendiri.Berbeza dengan kelaziman lagu raya yang rancak, naskhah bergenre balada ini membawakan penceritaan emosi yang sangat mendalam mengenai kasih sayang dua beradik berstatus yatim piatu.

Terdahulu, lagu dendangan Tantari, 8, berjudul “Rindu Hatiku Rindu” (2024) mencetuskan fenomena apabila menduduki carta trending nombor satu di YouTube selama 20 hari berturut-turut dengan 16 juta tontonan, manakala “Korban Rindu” nyanyian Putera Bobo, 14, pula mencecah 1.3 juta tontonan.

Menurut Eddie, karya terbaharu yang mendapat sokongan Nova Music Malaysia ini disempurnakan dengan lirik hasil nukilan Jaju, Hakim Hakimi, dan Te Ha. Lagu ini juga sangat dekat dengan jiwanya memandangkan beliau sendiri merupakan seorang anak yatim piatu.

“Lagu nyanyian Tantari dan Putera Bobo ini merupakan luahan hati bagi anak-anak yang kehilangan insan tersayang. Sebagai anak yatim piatu sendiri, saya dapat rasakan situasi tersebut. Saya yakin lagu nyanyian dua penyanyi cilik ini mampu menyentuh hati pendengar,” kata Eddie yang menghasilkan karya ini dengan tulus ikhlas.

Eddie Hamid Satukan Tantari & Putera Bobo Dalam Tangisan 1 Syawal

Menariknya, proses rakaman vokal bagi “Tangisan 1 Syawal” dilakukan secara berasingan, di mana Tantari merakamkannya di studio NAR, Kuala Lumpur manakala Putera Bobo melengkapkan bahagiannya di K-Seventh Studio, Kelantan.

Biarpun tidak merakamkan lagu bersama, keserasian mereka jelas terserlah ketika menjayakan penggambaran video muzik di kawasan tanah perkuburan dan rumah anak yatim, walaupun itu adalah pertemuan pertama mereka secara bertentang mata.

Putera Bobo yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik nyata tidak kekok untuk menggalas watak si abang dan melayan Tantari seakan adik kandungnya sendiri di set penggambaran.Bagi Tantari, biarpun ini merupakan lagu raya ketiganya, beliau tidak dapat menahan rasa sedih ketika proses rakaman kerana membayangkan nasib rakan sebaya yang tiada ibu bapa untuk meraikan lebaran bersama.

“Masa rakaman lagu ni, memang rasa sedih la sebab saya bayangkan kawan-kawan yang usia macam saya tak ada ibu bapa nak raya bersama. Saya harap lagu ini dapat sokongan ramai kerana ia berkaitan dengan anak-anak yatim piatu,” kata Tantari.

“Tangisan 1 Syawal” pula merupakan pertaruhan lagu raya pertama buat Putera Bobo. Beliau berharap naskhah ini mampu membuka mata masyarakat untuk sentiasa bersyukur, serta menggalakkan orang ramai untuk menziarahi dan meraikan golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik pada hari lebaran.

“Alhamdulillah, akhirnya saya mempunyai lagu raya sendiri biarpun bergandingan. Lagu Tangisan 1 Syawal rasa dekat di hati saya kerana ia bercerita tentang anak-anak yatim dan mengingatkan saya untuk selalu bersyukur,” kongsi Putera Bobo.

Karya terbitan Nova Music Malaysia ini sudah boleh distrim menerusi semua platform muzik digital, manakala video muziknya telah ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ bermula 5 Mac 2026.

Loading...