Ikuti Kami:

Romantis Habis! Najmi Niery & Adrianna Cinta Utus ‘Surat Cinta’ Menerusi Lagu ‘Best Part Of Raya’

Romantis Habis! Najmi Niery & Adrianna Cinta Utus ‘Surat Cinta’ Menerusi Lagu ‘Best Part Of Raya’

SHAH ALAM – Selepas tiga tahun bergelar anak seni, penyanyi dan komposer muda Najmi Niery akhirnya melancarkan single Aidilfitri pertamanya yang diberi judul Best Part Of Raya. Tampil berbeza daripada lambakan lagu perayaan sedia ada, lagu ini membawa kelainan apabila menonjolkan elemen ‘sepucuk surat cinta’ yang diterjemahkan ke dalam sebuah naskhah muzik.

Lebih istimewa, projek ini menyatukan Najmi Niery bersama penyanyi wanita berbakat, Adrianna Cinta, yang bertindak sebagai pasangan duetnya.Berkongsi tentang inspirasi di sebalik karya tersebut, Najmi mendedahkan bahawa lagu ini mula ditulis sekitar bulan Oktober 2025 dengan kerjasama Brendan Lim Seng Meng dan Amanda Gnai Song Hui daripada kumpulan komposer terkenal, MFMF.

 

Romantis Habis! Najmi Niery & Adrianna Cinta Utus 'Surat Cinta' Menerusi Lagu Best Part Of Raya

Menurut Najmi, lagu Best Part Of Raya secara asasnya menceritakan tentang luahan hati sepasang kekasih yang saling merindui dan sudah tidak sabar untuk bersua muka pada hari raya. Konsep surat yang ditulis antara dua individu ini pada asalnya telah dicadangkan oleh pihak MFMF, dan idea tersebut pantas disambut baik oleh Najmi yang turut memberikan sentuhan peribadinya bagi menjadikan emosi lagu itu lebih jujur serta hidup.

Pemilihan Adrianna Cinta sebagai rakan duet nyata membuahkan hasil berikutan keserasian vokal dan kecenderungan mereka terhadap genre muzik yang sama. Menurut Adrianna, paduan suara mereka sangat serasi memandangkan kedua-duanya mempunyai vibes nyanyian ke arah irama Pop R&B ala Indonesia.

Bagi Najmi pula, kelunakan suara Adrianna yang menenangkan amat bertepatan dengan ton suaranya sendiri, menjadikannya pilihan penyanyi duet yang paling sempurna untuk naskhah ini.Membawakan genre Pop R&B, Najmi yakin lagu Best Part Of Raya mampu memberi nafas segar buat industri muzik tempatan yang sering disajikan dengan lagu raya berunsur klasik.

Bagi melengkapkan penceritaan lagu ini, sebuah video visualizer berkonsepkan retro telah dirakamkan dalam masa tiga jam sahaja dengan mempraktikkan teknik one take shot. Diterbitkan oleh Naj&Co, Sony Music Entertainment Malaysia, serta Malika Entertainment & Management, peminat kini boleh mendengarkan Best Part Of Raya di kesemua platform penstriman digital utama bermula 6 Mac 2026.

Loading...