Syasya Rizal Selami Erti Raya Sebenar Menerusi ‘Inikan Hari Raya’
- oleh Editor MYBUZZ
- 6 Mar 2026 7:20 pm
KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal, mencuri tumpuan ramai dengan pelancaran single raya terbaharunya yang berjudul “Inikan Hari Raya”. Dikeluarkan pada 6 Mac 2026, naskhah ceria ini membawa mesej mendalam mengenai kebersamaan, rasa syukur, serta keindahan dalam kesederhanaan.
Menerusi karya ini, Syasya ingin menyuntik kesedaran kepada pendengar bahawa makna sebenar perayaan bukanlah diukur melalui kemewahan material, sebaliknya terletak pada kebahagiaan yang dikongsi bersama ahli keluarga dan orang-orang tersayang.

Penerbitan single “Inikan Hari Raya” ini turut melakar sejarah peribadi buat Syasya kerana ia merupakan penglibatan sulungnya secara langsung dalam proses penulisan lagu. Dicipta dan ditulis secara kolaborasi bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus, lagu ini turut mendapat sentuhan Amirul Azhar selaku penerbit dan penyusun muzik.
Daripada sudut gubahan, karya ini bermula dengan progresi kord yang ringkas dan alunan dram yang ringan sebelum berkembang melalui susunan muzik berlapis yang melonjakkan tenaga riang ke arah bahagian korus.
Syasya menyifatkan pengalaman pertama ini sangat istimewa kerana melaluinya, beliau dapat menyalurkan mesej yang tulus dari hatinya sendiri dengan bimbingan rakan komposer yang banyak membantu merangka emosi dan penceritaan lagu.

Bagi Syasya, mesej kesederhanaan di sebalik lagu ini sangat dekat dengan realiti kehidupannya. Beliau menyedari bahawa paparan kemewahan raya yang sering dilihat di media sosial bukanlah cerminan bagi semua orang, dan hari raya tetap bermakna biarpun diraikan dengan hanya memakai baju lama.
Sambutan raya penyanyi ini juga kini lebih bermakna dengan kehadiran suami dan dua orang bayinya, Obot dan Obit. Beliau menyifatkan bahawa fokusnya kini beralih kepada usaha mencipta kenangan hari raya yang terindah buat cahaya matanya.
Dalam pada itu, penyanyi ini menaruh harapan agar naskhah ini mampu membuatkan pendengar menghargai perkara-perkara kecil yang bermakna ketika berhari raya, seperti suasana bangun pagi, haruman rendang di dapur, mahupun momen menjamu selera bersama keluarga.
Syasya juga berharap liriknya dapat menyuntik rasa empati terhadap individu yang mungkin tidak berpeluang merasai kemeriahan raya sepenuhnya. Menjadi impian terbesarnya agar “Inikan Hari Raya” kekal malar segar dan menjadi lagu wajib yang mewarnai memori Syawal para pendengar pada setiap tahun. Buat peminat, single ini sudah pun tersedia untuk didengari di kesemua platform penstriman digital.
