Ikuti Kami:

“Bila Bersama, Lagi Jadi”: Rocketfuel Lancar 7 Lagu Raya, Cipta ‘Universe’ Syawal Paling Epik 2026

“Bila Bersama, Lagi Jadi”: Rocketfuel Lancar 7 Lagu Raya, Cipta ‘Universe’ Syawal Paling Epik 2026

KUALA LUMPUR – Syawal tahun ini dijangka lebih gamat dan sarat dengan mainan emosi apabila label rakaman popular, Rocketfuel Entertainment, mempertaruhkan bukan satu, tetapi tujuh buah lagu raya baharu! Selari dengan tema kempen Astro Salam Ramadan 2026, “Bila Bersama, Lagi Jadi”, koleksi istimewa ini menjanjikan kelainan dengan menterjemahkan seribu satu kisah lebaran masyarakat kita, bermula dari hilai tawa riang sehinggalah titisan air mata kerinduan.

Keunikan projek mega tahun ini terletak pada pembinaan naratif berangkainya yang membentuk sebuah “universe” atau alam semesta kreatif Rocketfuel. Kesemua tujuh lagu yang merangkumi pelbagai genre ini tidak berdiri secara bersendirian.

Sebaliknya, setiap karya yang dihimpunkan dalam sebuah EP (Extended Play) khas ini seolah-olah bergerak dalam orbit yang saling melengkapi antara satu sama lain, memberikan pengalaman pendengaran yang berterusan.

"Bila Bersama, Lagi Jadi": Rocketfuel Lancar 7 Lagu Raya, Cipta ‘Universe’ Syawal Paling Epik 2026

Membuka tirai projek ini ialah kumpulan sensasi ALPHA dengan taruhan berjudul “Rindu Raya” yang telah pun menemui peminat pada 21 Februari lalu. Membawa nuansa pop berentak sederhana, lagu ini berjaya menyerlahkan sisi kematangan vokalis kumpulan tersebut.

Dalam nada lebih ceria, Wani Kayrie kembali menghangatkan suasana dengan “Kampung Kita”, kesinambungan kepada fenomena tularnya sebelum ini. Lagu ini sarat elemen keriangan dan melodi mudah lekat, mengisahkan keterujaan pulang ke desa, bukan sahaja untuk keluarga, tetapi juga untuk bertemu insan yang mencuri hati.

"Bila Bersama, Lagi Jadi": Rocketfuel Lancar 7 Lagu Raya, Cipta ‘Universe’ Syawal Paling Epik 2026

Turut memeriahkan “universe” ini adalah penyanyi bersuara lantang, Nadeera, menerusi lagu “Restu Raya”. Tampil dengan susunan melodi yang mesra telinga, Nadeera berharap karyanya itu mudah dinyanyikan oleh segenap lapisan umur, sekali gus menjadi lagu penyatuan tatkala berkumpul bersama keluarga.

Kolaborasi paling dinanti pastinya menerusi “Raya Macam Raya” yang menyatukan Hael Husaini dan ALPHA. Lagu berentak upbeat dan berwarna M-Pop ini meraikan keseronokan membuat persiapan raya bermula daripada membeli baju baharu hinggalah memastikan segala kelengkapan Syawal sempurna.

"Bila Bersama, Lagi Jadi": Rocketfuel Lancar 7 Lagu Raya, Cipta ‘Universe’ Syawal Paling Epik 2026

Selain kolaborasi tersebut, Hael turut menghadiahkan single solo berjudul “Lagu Raya Untukmu”, sebagai tanda penghargaan buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seninya.

Namun, raya tidak selalu dihiasi dengan senyuman. Bagi mereka yang terpaksa beraya tanpa insan tersayang, vokal mendayu Dayang menerusi sebuah balada melankolik, “Senyum Gugur Di Hujung Doa” ciptaan bersama Iqie Hugh pastinya akan meruntun jiwa.

Membawa mesej rindu yang cukup mendalam, Dayang menyifatkan nyanyiannya kali ini dibawakan dengan hati yang tulus, khusus sebagai teman dan penenang emosi buat mereka yang berdepan kehilangan.

"Bila Bersama, Lagi Jadi": Rocketfuel Lancar 7 Lagu Raya, Cipta ‘Universe’ Syawal Paling Epik 2026

Melengkapkan barisan, Sharul Kamal dan Mierul Aiman tampil dengan “Duit Raya”, sebuah lagu moden dengan elemen rap yang membawa mesej santai tetapi bermakna. Dengan lirik pembuka yang mengingatkan bahawa “ada duit takda duit, raya tetap raya”, lagu ini menyentuh realiti masyarakat hari ini, menegaskan bahawa Aidilfitri diraikan dengan keikhlasan dan kasih sayang, bukan semata-mata harta.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, menegaskan bahawa kepelbagaian genre yang ditampilkan tahun ini adalah cerminan realiti masyarakat Malaysia. Walaupun kita datang dari latar belakang dan citarasa yang berbeza, bulan Syawal tetap menyatukan kita semua.

“Kami mahu setiap lagu raya tahun ini membawa identiti yang jelas. Ada yang ceria, ada yang reflektif, dan ada juga yang moden. Inilah realiti masyarakat kita yang berbeza latar belakang dan rasa, tetapi bersatu apabila tibanya Syawal.”

Dengan penceritaan magis dan melodi pelbagai perisa ini, “universe” raya ciptaan Rocketfuel ini bukan sahaja bakal mendominasi senarai main perayaan anda tahun ini, tetapi turut mengangkat standard penerbitan lagu raya tempatan ke tahap lebih tinggi. Tahun ini, jelas sekali bila bersama, memang lagi jadi.

Loading...