Ikuti Kami:

Bank Rakyat Raikan Pemenang RM1 Juta Akaun Pelaburan-i Rizq Plus

Bank Rakyat Raikan Pemenang RM1 Juta Akaun Pelaburan-i Rizq Plus

Cikgu Low Hui Yong dinobat sebagai Jutawan Baharu Rizq Plus Bank Rakyat, menang RM1 Juta

 

KUALA LUMPUR – Siapa sangka, berkat konsistensi dan disiplin dalam merancang kewangan akhirnya membuahkan hasil yang cukup lumayan dan mampu mengubah trajektori kehidupan sekelip mata.

Seorang guru berusia 58 tahun dari Johor Bahru, Low Hui Yong, telah mencatat sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai jutawan baharu melalui Akaun Pelaburan-i Rizq Plus kelolaan Bank Rakyat. Tuah memihak kepada beliau apabila membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai bernilai RM1 juta pada Majlis Raikan Jutaan Ganjaran yang dianjurkan dengan penuh gilang-gemilang di Menara Kembar Bank Rakyat semalam.

Bank Rakyat Raikan Pemenang RM1 Juta Akaun Pelaburan-i Rizq Plus

Setiap suku ada jutawan! Bank Rakyat cipta lagi kisah ‘mimpi jadi nyata’

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, berkata kemenangan ini mencatatkan Low Hui Yong sebagai jutawan keempat yang dilahirkan semenjak Akaun Pelaburan-i Rizq Plus mula diperkenalkan pada tahun 2022.

“Pencapaian ini adalah simbol keyakinan pelanggan terhadap produk pelaburan Bank Rakyat. Ia juga merupakan manifestasi bahawa perancangan kewangan yang bijak dan pelaburan yang berdisiplin mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan seseorang,” ujar beliau ketika berucap di majlis berkenaan.

Tahun ini, Bank Rakyat membawakan struktur hadiah dan ganjaran baharu bagi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus dengan tawaran keseluruhan hadiah mencecah RM10.8 juta. Menariknya, struktur ini membolehkan seorang pelanggan bergelar jutawan pada setiap suku tahunan. Bagi anda yang ingin mencuba nasib, peluang masih terbuka luas kerana pencarian jutawan seterusnya akan berlangsung pada Julai 2026 ini.

Kemeriahan majlis tidak terhenti di situ sahaja. Bank Rakyat turut meraikan beberapa pemenang bertuah yang lain, termasuklah Fifi Ann Madawan dari Kelana Jaya yang merangkul wang tunai RM20,000 menerusi Cabutan Bulanan. Sementara itu, Nafizah Ahmad Mokhtar dari Bangsar pula pasti tersenyum lebar apabila memenangi eGold bernilai RM15,000 di bawah kategori cabutan 50 Plus Draw.

Bank Rakyat Raikan Pemenang RM1 Juta Akaun Pelaburan-i Rizq Plus

Rezeki tak pernah salah alamat. Bank Rakyat tawar ganjaran keseluruhan bernilai RM10.8 Juta untuk tahun 2026

 

Dalam majlis yang sama, para pemenang bagi Kempen “We’ll Take You There” turut diraikan. Kempen yang melibatkan empat produk utama iaitu Kad Kredit-i, Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i dan Pembiayaan Kenderaan-i ini, menawarkan keseluruhan hadiah bernilai RM330,000.

Izwan Idris dari Pahang telah dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama kempen tersebut dan memandu pulang sebuah kenderaan elektrik (EV) model MG S5. Pemenang bertuah yang lain termasuklah Muhammad Jamil Abas dari Sarawak yang memenangi pakej kelengkapan rumah bernilai RM30,000. Manakala, Anis Suraya Che Ab Kadir dari Pahang pula telah memenangi pakej percutian impian ke Norway yang bernilai RM20,000.

Turut mencuri tumpuan ialah Mohd Azri Arifin dari Kelantan yang memenangi sebuah kereta elektrik Proton e.MAS 5 sebagai pemenang hadiah utama di bawah Kempen Pembiayaan Khas untuk Sektor Awam.

Loading...