Bank Rakyat Perkenal Ar-Rahnu Digital Pertama di Malaysia Melalui iRakyat
- oleh Editor MYBUZZ
- 19 May 2026 8:31 pm
KUALA LUMPUR – Bank Rakyat terus mengorak langkah ke hadapan dalam arena perbankan digital dengan meluncurkan dua inisiatif digital Ar-Rahnu yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Inovasi terbaharu tersebut yang merangkumi perkhidmatan Virtual Ar-Rahnu-i dan Pembiayaan Semula Ar-Rahnu (e-Overlap) disediakan khusus bagi memberikan penyelesaian pembiayaan digital yang lebih pantas, mudah diakses, serta fleksibel melalui platform perbankan internet iRakyat.
Menerusi pengenalan Virtual Ar-Rahnu-i, pelanggan individu yang merupakan pemegang Akaun-i eGold kini boleh mendapatkan aliran tunai dengan cara mencagarkan simpanan emas digital mereka secara terus dalam talian.
Kemudahan ini menawarkan nilai pembiayaan fleksibel yang bermula daripada RM100 sehinggalah mencecah RM500,000, tertakluk kepada syarat kelayakan pelanggan.

Ar-Rahnu kini 100% Online! Bank Rakyat tawar pembiayaan lebih fleksibel & pantas
Kelebihan utama Virtual Ar-Rahnu-i adalah ia membolehkan pelanggan memperoleh tunai segera tanpa perlu menjual simpanan emas mereka. Langkah ini secara tidak langsung membantu pelanggan mengekalkan baki pelaburan emas dalam Akaun-i eGold, sekali gus berpeluang menikmati potensi keuntungan daripada kenaikan nilai emas pada masa hadapan.
Sementara itu, inisiatif Pembiayaan Semula Ar-Rahnu (e-Overlap) pula menawarkan kemudahan untuk pelanggan Ar-Rahnu sedia ada mendapatkan jumlah pembiayaan yang telah dikemas kini berdasarkan harga emas semasa.
Melalui e-Overlap, pelanggan boleh menikmati margin pembiayaan sehingga RM350,000 dengan had maksimum sebanyak 80 peratus daripada nilai emas semasa.

e-Overlap Bank Rakyat benarkan pembiayaan tambahan tanpa gadaian baharu
Menurut kenyataan Bank Rakyat, sekiranya harga pasaran emas dunia meningkat, pelanggan berpeluang memperoleh pembiayaan tambahan secara dalam talian tanpa perlu membuat gadaian baharu ataupun hadir secara fizikal ke cawangan bank mahupun pusat Ar-Rahnu X’Change.
Lebih menarik, kedua-dua kemudahan digital ini dilaksanakan secara layan diri (self-service) sepenuhnya melalui perbankan internet iRakyat. Ia boleh diakses pada bila-bila masa termasuk di luar waktu operasi perbankan rasmi.
Langkah proaktif ini mencerminkan komitmen jitu Bank Rakyat dalam mempercepatkan agenda pendigitalan bagi menawarkan pengalaman perbankan yang lancar, di samping memperluas akses pembiayaan patuh Syariah kepada masyarakat. Penyelesaian responsif ini juga dijangka dapat membantu pengguna mengurus pengurusan kewangan secara lebih efisien sama ada untuk keperluan kecemasan mahupun perancangan jangka pendek.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web rasmi di www.bankrakyat.com.my, akaun media sosial rasmi @mybankrakyat, atau mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan.
