Apa Jadi Bila Bob The Builder Bertemu Nilai Islam? Jawapannya Ada Dalam Build-It Blocks
- oleh Editor MYBUZZ
- 1 Aug 2026 2:39 pm
CYBERJAYA – Generasi ibu bapa hari ini pastinya membesar dengan siri animasi ikonik seperti Bob the Builder, Higglytown Heroes, dan Dora the Explorer yang memperkenalkan pelbagai profesion serta konsep penyelesaian masalah. Kini, platform penstriman tempatan Durioo+ membawakan semula elemen nostalgia berkenaan menerusi naskhah terbaharu, ‘Build-It Blocks’.
Siri animasi 3D ini melakar sejarah sebagai animasi pertama di Malaysia yang menerapkan hadis sahih secara semula jadi sebagai asas penceritaan bagi setiap episod. Siri ini diraikan secara rasmi menerusi Tayangan Eksklusif di Durioo Experience Centre, Cyberjaya pada 1 Ogos 2026, menjelang tayangan rasminya bermula 8 Ogos ini.

Selepas 12 bilion tontonan Omar & Hana, pasukan ini hadir dengan kejutan terbaharu. – Sesi tayangan eksklusif ‘Build-It Blocks’ bersama media, pempengaruh media sosial serta ibu bapa di Durioo Experience Centre, Cyberjaya.
Sentuhan Pasukan Produksi Omar & Hana
Hadir dengan kualiti animasi 3D yang moden dan ceria, Build-It Blocks dihasilkan sepenuhnya oleh bakat tempatan daripada pasukan yang sama di sebalik kejayaan animasi fenomena antarabangsa, Omar & Hana.
Khas buat kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, siri ini diterajui oleh tiga watak utama iaitu Amir (arkitek), Bena (jurubina), dan Camil (jurutera pembinaan). Bersama-sama, mereka mengembara membantu pelbagai watak menyelesaikan masalah harian menerusi idea kreatif, kerja pembinaan, dan semangat bekerjasama.

Durioo gabung nostalgia, kerjaya dan nilai Islam dalam siri animasi baharu Build-It Blocks.
Raikan Wira Tak Didendang & Hadis Sahih
Apa yang membezakan ‘Build-It Blocks’ berbanding kartun pembinaan lain adalah pemilihan kerjaya yang diketengahkan. Selain profesion popular seperti anggota bomba atau doktor haiwan, siri ini secara khusus meraikan watak ‘wira tak didendang’ seperti penghantar bungkusan, pekerja kitar semula, dan tukang cuci.
Menerusi pendekatan ini, anak-anak diajar untuk menghormati dan menghargai setiap pekerjaan dalam masyarakat, sambil mempelajari adab serta nilai murni berasaskan hadis tanpa merasa jemu.

Pengarah Build-It Blocks, Heidi Arjuna
“Islam Itu Indah Dan Menyeronokkan” – Heidi Arjuna
Pengarah Build-It Blocks, Heidi Arjuna, berkongsi bahawa cetusan idea siri ini datang daripada kenangan beliau membesar dengan kartun pembinaan serta latar belakang keluarganya sendiri.
“Saya membesar dengan siri Bob the Builder, Higglytown Heroes, dan Dora the Explorer, selain datang daripada keluarga jurubina. Dahulu, ramai anak-anak hanya bercita-cita mahu menjadi doktor atau saintis, sedangkan ada begitu banyak profesion lain di sekeliling mereka yang penting untuk dikenali.
“Kami tidak mahu nilai Islam terasa seperti ceramah. Ia diterapkan secara semula jadi menerusi adab, kerjasama, cara membantu orang lain, dan hadis yang menjadi asas setiap episod. Kami mahu anak-anak rasa bahawa Islam itu indah, dekat, dan menyeronokkan untuk dipelajari,” jelas Heidi.
Pelancaran Sempena Harga Istimewa Merdeka
Build-It Blocks bakal ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman selamat dan bebas iklan, Durioo+, bermula 8 Ogos 2026. Pelancaran ini turut diselari dengan pengenalan Harga Istimewa Merdeka Durioo+, iaitu pada kadar RM13 sebulan atau RM118 setahun (bersamaan RM9.83 sebulan).
Sejak dilancarkan pada 2022, Durioo+ kini mengumpul lebih 100,000 pelanggan berbayar dan menawarkan lebih 25,000 video selamat buat kanak-kanak Muslim di seluruh dunia. Menerusi Build-It Blocks, Durioo+ terus mengukuhkan komitmen mereka dalam menyediakan hiburan berkualiti tinggi yang membentuk sahsiah serta nilai murni anak-anak sejak kecil.
