Ikuti Kami:

Rahila Ali Pertaruh Isu Sindiket Job Scam Dan Pemerdagangan Manusia Dalam Filem Tiket Sehala

Rahila Ali Pertaruh Isu Sindiket Job Scam Dan Pemerdagangan Manusia Dalam Filem Tiket Sehala

KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit prolifik, Rahila Ali, kembali menggegarkan layar perak menerusi naskhah terbaharunya bertajuk Tiket Sehala, sebuah filem survival thriller yang mengetengahkan isu panas mengenai penipuan pekerjaan (job scam) serta pemerdagangan manusia yang kian meresahkan masyarakat.

Filem terbitan Key Billions Sdn. Bhd. berkenaan diraikan menerusi Majlis tayangan gala yang berlangsung meriah di TGV Cinemas, Sunway Pyramid pada 29 Julai 2026, sebagai tirai pembuka sebelum menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos 2026.

Rahila Ali Pertaruh Isu Sindiket Job Scam Dan Pemerdagangan Manusia Dalam Filem Tiket Sehala

Malam tayangan gala ‘Tiket Sehala’ meriah dengan kehadiran pelakon tempatan dan antarabangsa.

 

Angkat Realiti & Mesej Kebebasan

Diinspirasikan daripada kisah benar yang sering melanda mangsa sindiket penipuan kerja, Tiket Sehala menyajikan naratif kelangsungan hidup yang penuh suspen dan emosi, selain membawa mesej mendalam mengenai nilai harapan, pengorbanan, serta kebebasan.

Pengarahnya, Rahila Ali, meluahkan rasa syukur apabila naskhah yang mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan ini akhirnya sedia dipertontonkan kepada umum.

“Selepas melalui perjalanan yang panjang untuk menyiapkan Tiket Sehala, akhirnya kami dapat berkongsi filem ini bersama penonton. Filem ini diinspirasikan daripada isu yang benar-benar berlaku dan kami cuba mengangkatnya dalam bentuk penceritaan yang mendebarkan.

“Kami berharap filem ini dapat membuka mata penonton terhadap realiti yang mungkin tidak ramai sedari. Jika penonton keluar dari pawagam dengan rasa lebih peka dan lebih berhati-hati terhadap isu ini, itu sudah cukup bermakna buat kami,” katanya.

Rahila Ali Pertaruh Isu Sindiket Job Scam Dan Pemerdagangan Manusia Dalam Filem Tiket Sehala

Rahila Ali angkat kisah mangsa penipuan pekerjaan dalam naskhah mendebarkan.

 

Cabaran Penggambaran Di Korea Selatan

Mengulas mengenai proses penerbitan, Rahila mengakui pembikinan Tiket Sehala berdepan pelbagai ujian memandangkan sebahagian besar penggambaran dijalankan di Korea Selatan. Antara cabaran utama yang perlu ditangani pasukan produksi termasuklah urusan kelulusan permit, logistik, faktor cuaca yang menentu, serta penyelarasan budaya kerja antara tenaga kreatif Malaysia dan Korea Selatan.

Namun, berkat komitmen tinggi seluruh warga kerja, naskhah ini berjaya disempurnakan dengan jayanya. Sementara itu, Penerbit Eksekutif Eddie Yap berharap naskhah ini mampu menjadi medan kesedaran buat masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis peluang pekerjaan di luar negara.

“Kita sering melihat laporan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara. Menerusi Tiket Sehala, kami berharap masyarakat akan lebih berwaspada dan membuat semakan sewajarnya sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan,” jelasnya.

Rahila Ali Pertaruh Isu Sindiket Job Scam Dan Pemerdagangan Manusia Dalam Filem Tiket Sehala

Sharifah Sakinah, Jaa Suzuran, Noki K-Clique dan Ainee Mustafa bersatu dalam ‘Tiket Sehala’.

 

Sisi Gelap Ladang Bawang & Barisan Pelakon 4 Negara

Tiket Sehala mengisahkan dugaan sekumpulan warga Malaysia iaitu Alif, Putri, dan Taqy yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika mencari rezeki di Korea Selatan. Setibanya di sana, impian mereka berkecai apabila mendapati tiada kilang mahupun gaji lumayan yang dijanjikan, sebaliknya terperangkap dan dipaksa bekerja di sebuah ladang bawang terpencil di bawah kawalan kejam dua beradik, Park Jae Soo dan Park Ha Joon.

Antara keunikan utama Tiket Sehala ialah gabungan mantap barisan pelakon dari empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, sekali gus memberikan dimensi antarabangsa kepada filem thriller survival ini. Kehadiran pelakon daripada latar budaya dan industri perfileman yang berbeza bukan sahaja menambah nilai kepada penceritaan, malah menjadikan naskhah ini lebih autentik dan dekat dengan realiti rentas sempadan yang diketengahkan.

Menerajui filem ini ialah Noki K-Clique yang membawa watak Alif, seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan. Turut menemani perjalanan getir tersebut ialah Jaa Suzuran sebagai Taqy dan Ainee Mustafa sebagai Putri, yang sama-sama terperangkap dalam situasi mencemaskan ketika mencari peluang kehidupan yang lebih baik di luar negara.

Filem ini turut menampilkan Sharifah Sakinah sebagai Kak Sal, watak yang memainkan peranan penting dalam perkembangan naratif. Dari Korea Selatan pula, Hyunjun Suk membawakan watak Park Ha Joon, manakala Ha Ju Young tampil sebagai Park Jae Soo, dua karakter yang menjadi antara tunjang utama kepada konflik dan ketegangan yang berlaku sepanjang penceritaan.

Filem ini turut diperkuatkan dengan penampilan pelakon pembantu serta penampilan khas daripada nama-nama popular seperti Sheila Mambo, Hasnul Rahmat, Ardell Aryana, Zaki Yamani, Saha Champ, Naufal Samudra, dan Usadee Aphisit (Ninja).

Gabungan bakat tempatan dan antarabangsa ini menjadikan Tiket Sehala sebuah karya yang unik, bukan sahaja dari segi penceritaan malah dari sudut persembahan lakonan. Dengan penggambaran yang dijalankan di Malaysia dan Korea Selatan, filem ini menawarkan pengalaman sinematik yang lebih luas serta memberi peluang kepada penonton untuk menyaksikan pertembungan budaya, bahasa dan emosi dalam sebuah kisah survival yang penuh debaran.

Loading...