Ikuti Kami:

DOLLA Terus Melakar Nama, Dipilih Sertai The A Festival Paris 2026

DOLLA Terus Melakar Nama, Dipilih Sertai The A Festival Paris 2026

KUALA LUMPUR – Kumpulan pop wanita sensasi tanah air, DOLLA, terus membuktikan dominasi dan kelangsungan jenama mereka apabila bakal melangkah ke pentas antarabangsa menerusi penyertaan di The A Festival Paris 2026.

Pengurusan Universal Music Malaysia mengesahkan bahawa kumpulan yang dianggotai oleh Sabronzo, Tabby, dan Angel itu bersedia untuk menggegarkan acara berprestij Eropah berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Oktober 2026 sekaligus melakar sejarah penting buat muzik pop Asia Tenggara di pentas global.

Bakal Gegar Paris Event Center

Dianjurkan oleh Envol Prod (Envol Production), The A Festival merupakan sebuah acara berskala besar di Eropah yang didedikasikan khusus untuk meraikan perkembangan pesat industri hiburan, budaya pop, dan kreativiti kontemporari Asia dan dalam masa yang sama menjadi platform penting untuk memperkenalkan bakat dan karya muzik Malaysia ke persada antarabangsa. Acara penuh berprestij itu di Paris Event Center, Perancis.

Penglibatan DOLLA dalam festival ini bukan sekadar menjayakan persembahan pentas semata-mata. Penyertaan mereka turut merangkumi pelbagai aktiviti eksklusif yang memberi peluang kepada kumpulan sensasi itu untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan peminat global serta membina jaringan bersama pemain industri dari pelbagai negara.

DOLLA Terus Melakar Nama, Dipilih Sertai The A Festival Paris 2026

Antara pengisian utama yang bakal berlangsung sepanjang festival tersebut termasuk konsert dan persembahan pentas (Concerts) yang menampilkan barisan artis antarabangsa, selain pengalaman bersama peminat (Fan Experiences) yang direka khas untuk mengeratkan hubungan antara artis dan penyokong mereka.

Selain itu, acara ini turut menawarkan sesi ramah mesra (Meet & Greet), membolehkan peminat bertemu secara langsung dengan artis kegemaran mereka. Tidak ketinggalan, festival tersebut juga menyediakan bengkel khas dan sesi uji bakat (Masterclasses & Auditions) yang memberi peluang kepada bakat baharu untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan meneroka peluang dalam industri hiburan global.

Satu Pentas Bersama Bintang Asia Popular

Kehadiran DOLLA di acara ini turut meletakkan mereka sebaris dengan nama-nama besar dari pelbagai negara. Antara barisan artis yang disahkan bakal memeriahkan The A Festival 2026 termasuklah kumpulan lelaki K-pop TRENDZ (Korea Selatan), ALAMAT (Filipina), serta deretan bintang handalan dari Thailand seperti 4EVE, ATLAS, JASP.ER, dan artis hip-hop IRONBOY. Acara ini turut menampilkan artis berbakat seperti Sunny Lukas dan Jacob.

Menurut kenyataan pihak Universal Music Malaysia, penyertaan berprestij ini disifatkan sebagai pencapaian yang amat membanggakan dan bertindak sebagai pemangkin terbaik bagi memperkenalkan irama M-Pop (Malaysian Pop) ke pasaran Eropah.

Kejayaan menempah tiket ke The A Festival Paris ini secara langsung mengukuhkan lagi kedudukan DOLLA sebagai wakil generasi baharu industri muzik tempatan yang bukan sahaja kebanggaan Malaysia, malah memiliki kualiti untuk menembusi pasaran global secara konsisten. Peminat yang ingin menyaksikan sendiri detik bersejarah ini boleh mendapatkan tiket yang dijual menerusi laman sesawang rasmi Envol Prod.

Loading...