Madani Greatlink Rancak Siri Promosi, Bawa ‘Gold Bar Challenge’ Ke Roadshow Tiket Sehala
- oleh Editor MYBUZZ
- 1 Aug 2026 4:10 pm
KUALA LUMPUR – Syarikat pengedar dan penjual kenderaan import terkemuka, Madani Greatlink Sdn Bhd, mencuri tumpuan ramai apabila bertindak agresif menyemarakkan kempen promosi filem terbaharu, Tiket Sehala.
Menariknya, Madani Greatlink menawarkan ganjaran luar biasa dengan nilai keseluruhan RM51,900 khas buat para peminat filem dan pengunjung yang hadir memeriahkan acara Open Day mereka.
Pengerusi Madani Greatlink, Hairi Jasadi, menyifatkan inisiatif tersebut termasuk penganjuran acara ‘Gold Bar Challenge’ bukan sahaja sebagai platform mendekati masyarakat, malah menjadi manifestasi sokongan padu syarikat terhadap naskhah tempatan berskala antarabangsa.

Madani Greatlink sokong industri perfileman menerusi kempen promosi filem ‘Tiket Sehala’. -Pengerusi Madani Greatlink, Hairi Jasadi
Langkah Berani Selepas 15 Tahun Beroperasi
Menurut Hairi, pembabitan ini cukup bersejarah kerana ia merupakan kali pertama syarikatnya tampil selaku penaja rasmi bagi sesebuah penerbitan filem, sepanjang 15 tahun mereka menapak kukuh di dalam industri permotoran.
Keputusan menaja filem terbitan Key Billions Production ini dibuat kerana beliau amat tertarik dengan naratif jalan cerita serta skop kerjasama antarabangsa yang melibatkan tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, dan Korea Selatan.
“Walaupun fokus utama kami adalah jualan kenderaan dan motosikal, kami melihat naskhah Tiket Sehala mempunyai keunikan dan potensi besar untuk meneroka pasaran penonton yang lebih luas.
“Melalui program roadshow dan hari terbuka yang diadakan, kami mahu memberi ganjaran semula kepada peminat dan pelanggan yang sentiasa menyokong kami,” jelasnya ketika ditemui pada majlis Open Day MADANI TRX di sini, semalam.

Madani Greatlink tawar hadiah RM51,900 sempena promosi filem Tiket Sehala.
Hadiah Lumayan Menanti Pengunjung
Bagi menghargai sokongan para peminat, Madani Greatlink tidak lokek menyediakan pelbagai hadiah lumayan sepanjang kempen promosi ini berlangsung. Antara tawaran hebat yang menanti orang ramai termasuklah:
- Ganjaran utama bar emas (Gold Bar) yang boleh dimenangi menerusi cabaran ‘Gold Bar Challenge’.
- 100 keping tiket percuma bagi tayangan filem Tiket Sehala.
- 10 baucar Salutan Kereta Premium Jepun (Japan Premium Full Car Coating) yang bernilai RM3,800 setiap satu.
- 3 baucar Full Car Polish yang bernilai RM300 setiap satu.
- Baucar rebat tunai kenderaan bernilai RM5,000 untuk seorang pemenang, RM3,000 (1 pemenang), dan RM1,000 (5 pemenang).
Kemeriahan promosi ini tidak sekadar terhenti di ibu kota, sebaliknya Hairi mengesahkan bahawa roadshow promosi filem berkenaan bakal diteruskan ke beberapa lokasi lain, termasuk di Shah Alam, Selangor.
Acara siri jelajah di sana disasarkan untuk menghimpunkan komuniti peminat sukan permotoran dan kelab motosikal tempatan. Syarikat Madani Greatlink kini beroperasi rancak menerusi tiga cawangan utama yang terletak di TRX (bersebelahan TRX Kuala Lumpur), Glenmarie, dan Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Filem ‘Tiket Sehala’ terus hangat sebelum tayangan rasmi dengan kempen luar biasa. – Barisan pelakon 4 negara yang bergabung dalam filem ini turun padang menjayakan acara Open Day MADANI TRX semalam.
Sisi Gelap Sindiket Penipuan Pekerjaan
Filem Tiket Sehala membawa naratif mendebarkan mengenai pengalaman Alif, Putri, dan Taqy yang terperangkap dalam sistem pemerdagangan manusia yang kejam. Mereka dipaksa bekerja sebagai buruh di ladang bawang terpencil di bawah kawalan ketat dua beradik tempatan, Park Jae Soo dan Park Ha Joon.
Keunikan filem ini turut terletak pada gabungan pelakon dari empat buah negara, iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand, dan Indonesia. Ia dibintangi nama-nama popular seperti Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani, Ardell Aryana, dan Saha Champ.
Karya ini turut diserikan dengan penampilan bakat antarabangsa iaitu Hyunjun Suk, Ha Ju Young, Ninja Aphisit Usadee, serta Naufal Samudra. Tiket Sehala dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos ini.
