Ikuti Kami:

‘Aku Nak Kawin’ Cetus Kecoh! Kelly Azman Akhirnya Buka Mulut

‘Aku Nak Kawin’ Cetus Kecoh! Kelly Azman Akhirnya Buka Mulut

KUALA LUMPUR –  Hangat di media sosial sejak semalam apabila personaliti versatil dan sensasi, Kelly Azman, sekali lagi mencuri tumpuan warganet gara-gara memuat naik video lagu cover terbaharunya. Menyanyikan semula lagu popular “Aku Nak Kawin” nyanyian asal Andi Bernadee, perkongsian tersebut telah menerima pelbagai reaksi serta tidak terlepas daripada kritikan pedas netizen.

Namun, bagi Kelly, kecaman dan lontaran kata-kata negatif daripada segelintir pihak tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus berkarya. Tampil mempertahankan tindakannya, beliau menegaskan bahawa karya tersebut dihasilkan sekadar untuk tujuan hiburan.

“Ini hanyalah hiburan. Semua orang dalam industri menerima karya saya. Saya menghormati setiap pandangan, tetapi saya juga berhak untuk berkarya dan berkongsi kreativiti saya dengan orang ramai,” jelasnya bagi menjawab tohmahan netizen.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kontroversi tersebut, Kelly memberitahu bahawa naskhah cover “Aku Nak Kawin” itu merupakan salah satu projek terbaharunya sebagai tanda penghargaan terhadap lagu asal berkenaan.

Beliau turut menyifatkan dirinya mempunyai identiti tersendiri yang mungkin sukar diterima oleh semua orang, namun selesa dengan imej yang dibawanya.

“Di Malaysia, mungkin tidak ramai yang berani melakukan apa yang saya lakukan. Saya tampil dengan gaya saya sendiri dan saya selesa dengan identiti itu,” tambahnya lagi.

‘Aku Nak Kawin’ Cetus Kecoh! Kelly Azman Akhirnya Buka Mulut

Kelly Azman tetap positif, akui sudah lali dengan kecaman di media sosial.

 

Tidak mahu memanjangkan isu yang timbul, Kelly Azman sempat menitipkan pesanan kepada netizen agar tidak terlalu emosi atau mengambil serius kandungan video yang dimuat naik di media sosialnya.

Menurut Kelly, karya tersebut dihasilkan sekadar untuk tujuan hiburan dan tidak mempunyai niat lain selain menghiburkan para pengikut serta peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan kerjayanya.
Kelly turut berharap orang ramai tidak menilai dirinya secara berlebihan hanya berdasarkan kandungan yang dikongsikan.

Baginya, setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam berkarya dan mengekspresikan kreativiti, manakala apa yang dipersembahkannya hanyalah sebahagian daripada usaha untuk menceriakan serta menghiburkan audiens di platform digital.

Dalam masa yang sama, Kelly mengakui beliau sudah lali berdepan pelbagai kritikan, tomahan dan kecaman sepanjang bergelar anak seni. Menurutnya, situasi sedemikian merupakan asam garam dunia hiburan yang perlu diterima dengan hati terbuka dan sikap positif.

“Saya sudah lali dengan tomahan dan kecaman. Saya memilih untuk terus positif dan menghasilkan karya buat mereka yang menghargainya,” ujar Kelly.

Meskipun menerima pelbagai reaksi negatif susulan pelancaran lagu cover Aku Nak Kawin, Kelly menegaskan perkara itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berkarya. Sebaliknya, beliau berjanji akan terus aktif menghasilkan pelbagai kandungan kreatif pada masa akan datang, dengan harapan setiap karya yang dihasilkan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa dipengaruhi persepsi atau penilaian yang berat sebelah.

Loading...