Hussain Melonjak Ungguli Big Stage Rocketfuel Minggu 2, Perjalanan Sufie Rose Bernoktah!
- oleh Editor MYBUZZ
- 6 Jul 2026 1:11 pm
SHAH ALAM: Pentas konsert Big Stage Rocketfuel bergema dengan sorakan gemuruh apabila bintang muda, Hussain berjaya melonjak ke kedudukan pertama dari kedudukan keempat minggu lalu pada saingan konsert minggu kedua, sekali gus menewaskan 10 pesaing yang lain.
Namun, nasib tidak menyebelahi penyanyi Sufie Rose apabila terpaksa melupakan impiannya untuk terus beraksi selepas tersingkir susulan menduduki tangga terbawah di penghujung konsert yang berlansung malam tadi di Auditorium MBSA Shah Alam.
Bertemakan irama ‘Fast Tempo’ yang mewajibkan kesemua peserta untuk lincah bergerak, menari dan menguasai pentas secara total, Hussain ternyata berjaya menterjemahkan cabaran tersebut dengan cemerlang.

Tema ‘Amplify’ uji kebolehan tarian dan penguasaan pentas, Hussain muncul peserta terbaik konsert Big Stage Rocketfuel minggu ke-2.
Tampil membawakan lagu ‘Hutang’ nyanyian asal Floor 88, persembahan bertenaga dan gaya persembahannya berjaya menambat hati barisan juri profesional yang terdiri daripada Hael Husaini, Akim Ahmad dan Aisha Retno.
Hussain menerima markah yang cukup memberangsangkan iaitu 75 daripada Hael Husaini, 63 daripada Akim Ahmad dan markah tertinggi 78 daripada Aisha Retno, sekaligus meletakkannya di takhta juara mingguan dengan jumlah keseluruhan 72.00 peratus. Hussaini turut menerima Anugerah Rocket Star of The Week minggu ini hasil undian para penonton.
Dia diekori rapat oleh Ranisha di kedudukan kedua (71.67 peratus) yang memukau penonton dengan vokal mantap menerusi lagu ‘I Will Show You’ (Ailee), manakala duo Adam & Nazmie selesa di tempat ketiga dengan 70.00 peratus selepas mendendangkan lagu C.H.R.I.S.Y.E.
Dalam pada itu, pentas konsert minggu kedua ternyata menjadi mimpi ngeri buat Sufie Rose. Pertaruhannya menyanyikan lagu ‘Panas’ nyanyian kumpulan De Fam gagal ‘memanaskan’ suasana dan tidak berjaya memikat hati para juri.

Langkah Sufie Rose bernoktah! Markah keseluruhan tidak mampu menyelamatkan Sufie Rose dari tersingkir.
Sufie sekadar meraih markah keseluruhan sebanyak 57.33 peratus (Hael: 57, Akim: 57, Aisha: 58), meletakkannya di kedudukan ke-11 dan terpaksa akur meninggalkan keluarga Big Stage Rocketfuel.
Peserta lain yang turut memberikan saingan sengit pada konsert malam tadi termasuklah Yad-Z (69.33%) dan Rieffa (69.33%) yang terikat di kedudukan keempat, diikuti Danny (67.00%), Qilo (65.33%), Sabrina (62.00%), Aliff Kimey (61.67%) dan Danial Kifli (61.33%).
Dengan penyingkiran Sufie Rose, saingan kini semakin sengit buat 10 peserta yang masih bertahan. Mampukah Hussain mengekalkan momentum sebagai juara, atau adakah kejutan lain yang bakal menanti peminat di konsert minggu hadapan? Sama-sama kita nantikan!
