Ikuti Kami:

‘Setiap Luka Ada Hikmahnya’ – Fazura Luah Kisah Paling Dekat Di Hatinya

‘Setiap Luka Ada Hikmahnya’ – Fazura Luah Kisah Paling Dekat Di Hatinya

KUALA LUMPUR – Selepas sekian lama mencipta nama menerusi karya-karya hebat terdahulu, figura popular, Fazura kini kembali memeriahkan industri muzik tanah air menerusi buah tangan terbaharunya berjudul ‘Kisah Terbaik’.

Berbeza dengan kebiasaan, naskhah berbentuk balada yang padat dengan emosi ini mengangkat tema yang lebih mendalam iaitu penerimaan takdir, pencarian kekuatan diri, serta harapan untuk terus melangkah ke hadapan.

Menurut Fazura, ‘Kisah Terbaik’ tidak hanya tertumpu kepada kisah cinta semata-mata, sebaliknya sarat dengan mesej universal tentang bagaimana setiap pengalaman hidup memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi seseorang.

“Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah. Saya harap lagu ini dapat menjadi teman buat sesiapa yang sedang melalui fasa untuk melepaskan dan memulakan lembaran baharu,” jelasnya.

 

 ‘Setiap Luka Ada Hikmahnya’ – Fazura Luah Kisah Paling Dekat Di Hatinya

Mengakui bahawa lagu ini sangat dekat dengan perjalanannya sendiri, Fazura menyatakan setiap manusia pasti tidak lari daripada diuji dengan fasa jatuh dan bangun dalam kehidupan.

“Ada banyak pengalaman yang mengajar saya tentang kekuatan, keikhlasan dan menerima apa yang telah ditentukan. Sebab itu saya begitu terhubung dengan lagu ini kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan, walaupun sukar, tetap mempunyai makna yang indah,” luahnya lagi.

Menyentuh mengenai proses pembikinan, ‘Kisah Terbaik’ mendapat sentuhan magis hasil kolaborasi komposer, penulis lirik dan penerbit berbakat, Aiman Sidek dan Reza Ramsey. Proses pembikinannya disifatkan sangat terbuka, sekaligus memberikan ruang buat penyanyi jelita ini berkongsi pengalaman dan menterjemahkan emosinya dengan cukup jujur.

Dari sudut gubahan muzik, lagu ini diserikan dengan susunan sinematik di mana pendengar akan dibawa menyelusuri perjalanan emosi yang bermula dengan kelembutan yang rapuh, sebelum ia memuncak menjadi lebih besar dan sarat dengan harapan.

 

Fazura sendiri menyifatkan naskhah ini sebagai antara karya yang paling matang dalam kerjaya seninya. Bintang ini turut meletakkan harapan agar melodi dan lirik ‘Kisah Terbaik’ mampu menjadi sumber kekuatan dan memberikan secebis ketenangan buat sesiapa sahaja yang sedang berdepan dengan detik mencabar dalam hidup.

Lagu ‘Kisah Terbaik’ yang mengajak para pendengar untuk menerima setiap episod kehidupan dengan hati yang terbuka ini kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital.

Loading...