Ikuti Kami:

WRDD 2026 Angkat Kejayaan FELDA Sebagai Model Pembangunan Luar Bandar Malaysia

WRDD 2026 Angkat Kejayaan FELDA Sebagai Model Pembangunan Luar Bandar Malaysia

JENGKA – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terus mengukuhkan reputasinya di persada global apabila dipilih sebagai platform utama bagi penganjuran Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia (WRDD) 2026.

Penganjuran sulung di Malaysia ini diadakan selepas hari berkenaan mendapat pengiktirafan rasmi daripada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). Lebih bermakna, Jengka, Pahang telah dipilih sebagai lokasi bersejarah bagi sambutan tersebut yang berlangsung serentak dengan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan 2026.

Pemilihan FELDA ini bukanlah sekadar simbolik semata-mata, tetapi ia menjadi bukti kukuh keberkesanan agensi tersebut dalam mentransformasikan kawasan pedalaman menjadi sebuah komuniti yang moden, progresif, dan berdaya saing. Ia juga dilihat amat bertepatan dengan tema WRDD 2026 iaitu “Ke Arah Komuniti Luar Bandar yang Dinamik, Makmur dan Bahagia”.

(Tengah) YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, hadir ke sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 dan Hari Peneroka FELDA 2026 yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

 

Langkah menggabungkan sambutan WRDD dan Hari Peneroka FELDA ini turut mencerminkan komitmen padu kerajaan dalam memperlihatkan pencapaian luar bandar secara bersepadu, dengan menghimpunkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Sempena sambutan itu, pelbagai anugerah berprestij telah disampaikan sebagai mengiktiraf kecemerlangan warga FELDA. Antaranya termasuklah Anugerah Usahawan FELDA (AUF) 2025, Anugerah Koperasi Terbaik Rancangan FELDA (AKTRF) 2026, Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF), serta Anugerah Tokoh Imam FELDA.

Pengiktirafan ini jelas membuktikan bahawa rancangan tanah rancangan itu bukan sahaja berjaya melahirkan golongan peneroka yang cekal, malah mampu membentuk komuniti usahawan dan koperasi yang memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Sebagai rekod, setakat Mei 2026, sebanyak 285 koperasi FELDA telah berjaya ditubuhkan dengan nilai jualan terkumpul mencecah RM50.18 juta. Keuntungan ini dijana menerusi pelbagai aktiviti ekonomi setempat seperti pengoperasian stesen minyak, perkhidmatan kontraktor, pasar raya, serta sektor perniagaan lain yang membuktikan keupayaan komuniti luar bandar memacu ekonomi secara mampan.

Selain itu, program seperti Anugerah Usahawan FELDA turut memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi kepada generasi baharu untuk menceburi dunia perniagaan berasaskan inovasi dan komitmen tinggi.

Melalui agenda WRDD 2026, tumpuan kerajaan terhadap aspek inovasi komuniti, pendigitalan desa, dan pengukuhan sosioekonomi luar bandar terus diperkasakan. Selepas hampir tujuh dekad penubuhannya, FELDA terus berdiri megah sebagai contoh terbaik dasar pembangunan tanah negara yang kini dikagumi di peringkat antarabangsa.

Loading...