Antara Luka Dan Harapan, Yuka Kharisma Temui Magis Dalam ‘Mantra’
- oleh Editor MYBUZZ
- 6 Jul 2026 5:21 pm
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu berbakat besar, Yuka Kharisma, kembali mencuri perhatian industri hiburan apabila tampil mempertaruhkan kekuatan vokal serta penghayatan emosi luar biasa menerusi karya terbaharunya berjudul ‘Mantra’.
Lebih menarik, naskhah sarat emosi ini telah dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) bagi filem seram psikologi terbaharu, Nar’sata: Sekutu Setan arahan Pierre Andre yang telah ditayangkan sedikit masa lalu.
Berkongsi pengalamannya, Yuka mengakui dia menerima tawaran tersebut dengan penuh keterujaan. Baginya, projek berkenaan bukan sahaja mempunyai identiti dan jiwa yang sangat kuat, malah membuka ruang untuknya menzahirkan ekspresi seni secara jujur menerusi elemen muzik.
“Selepas mendengar penerangan mengenai filem Nar’sata dan hala tuju muzik yang diinginkan, saya terus merasakan satu hubungan yang kuat dengan lagu ini.
“Perkara pertama yang menarik perhatian saya mengenai Mantra ialah suasana muziknya yang bersifat ‘haunting’, misteri, dan puitis, namun dalam masa yang sama sarat dengan emosi. Lagu ini bukan sekadar sedap didengar, tetapi mempunyai ‘nyawa’,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai mesej di sebalik bait liriknya, Yuka menjelaskan Mantra membawa tema yang sangat mendalam mengenai pergolakan jiwa, kehilangan, harapan, serta kekuatan batin manusia dalam mendepani luka emosi yang terpendam. Ia merupakan sebuah naratif tentang kesakitan yang disimpan terlalu lama, namun masih menyisakan secercah harapan untuk terus bangkit bertahan.
Bagi memastikan penyampaiannya benar-benar memberi impak dan selari dengan jalan cerita, penyanyi ini sanggup meluangkan masa mendalami plot filem berkenaan demi memahami konflik watak yang dipaparkan.
Bagaimanapun, Yuka tidak menafikan bahawa cabaran terbesar sepanjang proses rakaman adalah untuk mengimbangi antara teknik vokal yang halus dengan intensiti emosi yang tinggi.
“Ada bahagian yang memerlukan tona suara yang sangat lembut dan intim, tetapi dalam masa sama perlu penuh dengan rasa. Disebabkan emosi lagu ini agak intens, saya perlu benar-benar berada dalam mod yang tepat supaya penyampaiannya terasa semula jadi,” jelasnya yang menyifatkan kerjasama bersama produksi sebagai satu pengalaman yang sangat positif.
Lagu Mantra merupakan hasil ciptaan komposer tersohor, Farouk Roman, bersama penulis lirik berwibawa, Senna. Gabungan elemen muzik penuh misteri dan vokal sinematik Yuka dilihat telah menjadi pelengkap impak kepada pengalaman penonton filem Nar’sata: Sekutu Setan.
