AKAR 2026 Cipta Sejarah, Lebih 153,000 Murid Prasekolah Sertai Pertandingan Mewarna Serentak
- oleh Editor MYBUZZ
- 1 Jul 2026 4:39 pm
SHAH ALAM – Satu lakaran sejarah baharu dalam dunia kreatif awal kanak-kanak tempatan berjaya dicipta hari ini apabila seramai 153,056 murid prasekolah dari seluruh negara menyertai pertandingan mewarna secara serentak. Kejayaan mega ini dijayakan menerusi penganjuran Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR 2026) yang dikelolakan oleh Yayasan KRU.
Program berskala nasional ini mendapat sokongan padu daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Melihat kepada angka penyertaan yang amat memberangsangkan, Yayasan KRU kini secara rasmi menyasarkan pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori penyertaan murid prasekolah terbesar dalam pertandingan mewarna. Pencapaian ini sekali gus membuktikan sambutan luar biasa terhadap AKAR 2026 serta kejayaan kerjasama strategik antara pelbagai agensi dalam menjayakan program berskala nasional ini.

153,056 murid mewarna serentak! AKAR 2026 pecah rekod dan cetus fenomena nasional.
Daripada jumlah keseluruhan 153,056 murid, seramai 123,013 murid daripada 10,583 TABIKA KEMAS di seluruh negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung secara serentak. Pada masa yang sama, 25,623 murid daripada 1,781 Tabika Perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut menyumbang kepada kejayaan program ini.
Secara keseluruhannya, sebanyak 12,364 institusi prasekolah telah terlibat dalam AKAR 2026, menjadikannya antara inisiatif pembangunan kreativiti kanak-kanak terbesar pernah dianjurkan di Malaysia. Penyertaan luar biasa ini bukan sahaja memperkukuhkan aspirasi Yayasan KRU untuk melahirkan generasi muda yang kreatif, malah meletakkan AKAR 2026 dalam kedudukan kukuh untuk mencipta sejarah baharu menerusi pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man meluahkan rasa bangga atas komitmen seluruh warga TABIKA KEMAS yang bertindak sebagai tulang belakang dalam menjayakan usaha murni ini secara serentak di seluruh negara. Beliau menegaskan bahawa dalam era teknologi yang bergerak pantas, kemahiran kreativiti amat penting untuk melahirkan modal insan masa depan yang kompetitif.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPNIN, Tuan Zulkifli Hashim menyifatkan penglibatan ribuan murid Tabika Perpaduan ini sebagai satu platform terbaik dalam menyemai nilai-nilai kebersamaan.
“Aktiviti seperti AKAR 2026 memberi ruang kepada kanak-kanak untuk belajar berinteraksi, berkongsi pengalaman dan menghargai perbezaan melalui pendekatan yang menyeronokkan. Pendekatan sebegini selaras dengan usaha JPNIN untuk menyemai nilai perpaduan, hormat-menghormati dan semangat kebersamaan sejak usia muda,” ujar beliau.

AKAR 2026 sasar cipta rekod MBOR, platform kreativiti kanak-kanak terbesar di Malaysia
Untuk rekod, AKAR merupakan pertandingan seni kreatif peringkat negeri dan kebangsaan yang julung kali diadakan oleh Yayasan KRU dengan misi utama mencungkil bakat seni si cilik di samping memupuk kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar.
Bukan sekadar sebuah pertandingan mewarna biasa, Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026 tampil dengan tawaran hadiah yang cukup lumayan, bernilai keseluruhan lebih RM125,000 untuk para pemenang dalam kategori murid dan sekolah di peringkat negeri serta kebangsaan. Lebih istimewa, hadiah yang diperuntukkan kepada pemenang dalam kalangan murid berjumlah RM99,750 akan disalurkan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN), sekali gus menggalakkan budaya menabung dan perancangan pendidikan sejak usia muda.

Yayasan KRU rancang perluas AKAR Ke sekolah menengah dan IPT. -Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Dato’ Norman Abdul Halim
Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Dato’ Norman Abdul Halim, meluahkan rasa syukur atas kejayaan awal AKAR 2026 yang disifatkannya sebagai hasil kerjasama erat antara sektor kerajaan, korporat, institusi pendidikan dan masyarakat. Menurut beliau, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan bahawa usaha kolektif pelbagai pihak mampu melahirkan program berskala nasional yang memberi manfaat besar kepada generasi muda serta menyemarakkan budaya kreativiti dalam kalangan kanak-kanak.
Beliau turut mendedahkan perancangan jangka panjang Yayasan KRU untuk memperluaskan jenama AKAR secara berperingkat sehingga merangkumi lebih ramai pelajar di pelbagai peringkat pendidikan. Bagi tahun 2026, fokus utama program adalah melibatkan murid prasekolah dan sekolah rendah di seluruh negara. Pada tahun 2027, AKAR dijangka diperluaskan ke peringkat sekolah menengah, sebelum membuka penyertaan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menjelang tahun 2028.
Perancangan berfasa ini mencerminkan komitmen Yayasan KRU untuk menjadikan AKAR sebagai platform pembangunan kreativiti yang berterusan, sekali gus melahirkan generasi muda yang inovatif, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan industri kreatif serta ekonomi digital negara pada masa hadapan.

PTPTN, KEMAS adn JPNIN berganding bahu jayakan AKAR 2026 peringkat nasional.
Bagi merancakkan lagi bahang kreativiti ini, PTPTN turut mengumumkan penganjuran Siri Jelajah AKAR 2026 yang akan bergerak ke 40 buah sekolah rendah terpilih di seluruh Malaysia dengan sokongan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) KPM.
Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid menjelaskan langkah ini bertujuan untuk membudayakan amalan menabung dalam kalangan ibu bapa demi persediaan pembiayaan pendidikan masa depan anak-anak menerusi produk Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.
Bagi peminat seni atau orang ramai yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini, pendaftaran bagi program sukarelawan kini dibuka secara rasmi menerusi laman sesawang yayasan. Segala maklumat lanjut mengenai keputusan pertandingan yang berlangsung dari 1 hingga 31 Julai 2026 ini, pembelian barangan rasmi, serta jadual jelajah boleh didapati dengan melayari www.yayasankru.org.
