Ikuti Kami:

Tiga Dekad Dinanti, Mus, JoBranko, Black & Eddie Bersatu Dalam Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary

Tiga Dekad Dinanti, Mus, JoBranko, Black & Eddie Bersatu Dalam Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary

KUALA LUMPUR – Peminat muzik rock tanah air bakal menyaksikan satu detik bersejarah yang amat dinantikan sejak tiga dekad lalu apabila formasi ikonik kumpulan Wings yang diterajui oleh Mus, JoBranko, Black, dan Eddie disahkan bakal kembali bersatu di atas satu pentas.

Penyatuan semula yang dianggap sebagai satu ‘keraian emas’ ini adalah bersempena dengan konsert skala besar, Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary. Konsert eksklusif ini dijadualkan berlangsung pada 5 September 2026 bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam.

Album Biru Mata Hitamku yang dipasarkan pada tahun 1996 merupakan antara portfolio paling penting dalam lipatan sejarah industri muzik tempatan. Kehadiran Mus (yang ketika itu merupakan vokalis kumpulan May) bukan sahaja mencetuskan fenomena tersendiri, malah memulakan ‘bab kedua’ buat Wings yang beralih ke dimensi genre rock dan heavy metal yang lebih padu.

 

Tiga Dekad Dinanti, Mus, JoBranko, Black & Eddie Bersatu Dalam Biru Mata Hitamku - 30 Tahun Anniversary

30 tahun kemudian, Mus Dan Wings akhirnya hidupkan semula Biru Mata Hitamku!

 

Meskipun album ini pernah dianggap underrated oleh sesetengah pihak, ia sebenarnya menyimpan khazanah karya yang sangat berkualiti tinggi dan malar segar. Malah, album tersebut pernah diiktiraf menerusi kemenangan kategori Kulit Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 1996 (AIM 96) serta berjaya melangkah sebagai finalis dalam Anugerah Juara Lagu.

Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, penganjuran konsert ini adalah untuk meraikan kualiti karya yang mampu bertahan melampaui zaman dan konflik.

“Wings melalui album Biru Mata Hitamku membuktikan jangka hayat sesebuah kugiran bukan bergantung semata-mata kepada vokalis atau anggota lain yang silih berganti. Tapi ia tentang karya berkualiti dan mengekal atau menaikkan piawaian mereka,” ulas Iman Tang sambil menambah bahawa konsert ini menjadi bukti bagaimana sesebuah kugiran boleh bangkit semula dalam babak yang lebih baik.

Tiga Dekad Dinanti, Mus, JoBranko, Black & Eddie Bersatu Dalam Biru Mata Hitamku - 30 Tahun Anniversary

‘Enigma’ jadi realiti, Mus kembali bersama Wings untuk malam paling bersejarah tahun ini.

 

Bagi gitaris legenda Wings, JoBranko, tiada hadiah yang lebih bermakna buat para peminat setia selain meraikan ulang tahun ke-30 album Biru Mata Hitamku bersama-sama dalam sebuah konsert yang istimewa. Menurut beliau, album tersebut bukan sekadar sebuah koleksi lagu, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan penting kumpulan Wings dan mempunyai nilai sentimental yang cukup besar dalam kalangan peminat.

JoBranko turut mengakui bahawa karya-karya yang terkandung dalam album tersebut masih kekal relevan dan terus mendapat tempat di hati pendengar sehingga hari ini. Justeru, konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary bakal menjadi medan terbaik untuk menghidupkan semula nostalgia dan meraikan legasi album berkenaan bersama generasi peminat lama mahupun baharu.

Pada malam penuh bersejarah itu nanti, peminat bakal dihiburkan dengan rangkaian lagu-lagu ikonik daripada album tersebut yang akan dipersembahkan secara langsung. Antara lagu yang dijangka menjadi tumpuan termasuk Biru Mata Hitamku, Makam Kekasih, Jika Kau Tahu dan Enigma, yang sehingga kini masih dianggap antara karya terbaik dalam katalog muzik Wings.

Tiga Dekad Dinanti, Mus, JoBranko, Black & Eddie Bersatu Dalam Biru Mata Hitamku - 30 Tahun Anniversary

Icon Entertainment bawa ‘Biru Mata Hitamku’ – 30 Tahun Anniversary ke Mega Star Arena. – Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang

 

Dalam masa yang sama, pihak penganjur juga memilih pendekatan yang lebih santai bagi memastikan semua peminat dapat menikmati konsert tanpa perlu memikirkan tema pakaian yang terlalu rumit. Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata kod pakaian rasmi untuk malam tersebut cukup mudah iaitu hanya mengenakan pakaian berwarna hitam sebagai simbolik kepada sambutan Biru Mata Hitamku.

“Cukup hitam pada satu malam yang biru,” ujar beliau, menggambarkan konsep ringkas namun penuh makna yang bakal menyatukan ribuan peminat Wings di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 5 September 2026 nanti.

Tiket untuk konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary akan mula dijual pada 3 Julai 2026 (Jumaat) bermula jam 3.00 petang menerusi laman sesawang rasmi ticket2u.com/birumatahitamku. Menariknya, setiap kategori tiket dinamakan sempena lagu-lagu ikonik yang terkandung dalam album Biru Mata Hitamku, sekali gus memberikan sentuhan eksklusif dan sentimental kepada para peminat setia Wings.

Tiga Dekad Dinanti, Mus, JoBranko, Black & Eddie Bersatu Dalam Biru Mata Hitamku - 30 Tahun Anniversary

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman paling istimewa, kategori GRAND VIP ditawarkan pada harga RM1,500. Selain itu, peminat juga boleh memilih kategori ENIGMA pada harga RM358, MR BARBARIK (RM308), JIKA KAU TAHU (RM288) dan IDAMAN yang dijual pada harga RM258.

Konsert yang dibawakan khas oleh Icon Entertainment ini dijangka menjadi antara acara rock paling dinantikan tahun ini, khususnya buat peminat yang membesar dengan karya-karya daripada album Biru Mata Hitamku. Selepas tiga dekad, album yang pernah mencipta fenomena tersendiri itu bakal dihidupkan semula menerusi persembahan berskala besar yang sarat dengan elemen nostalgia dan kenangan.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert, Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary dilihat sebagai peluang untuk mengisi ‘Satu Titik Kosong’ yang sekian lama dirindui oleh peminat tegar Wings. Dengan gabungan lagu-lagu malar segar, barisan anggota legenda serta suasana yang dijangka penuh emosi, malam di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 5 September 2026 itu pastinya menjanjikan sebuah pengalaman yang lebih ‘meletus’ daripada Gegar Gunung Gemora.

Loading...